Sorting by

×

LOJI RAWATAN AIR JUS FASA 2 LERAI DILEMA PENDUDUK KAMPUNG

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 6 Jun – Dilema berkaitan bekalan air bagi penduduk kampung di sebahagian kawasan Alor Gajah dan Jasin bakal berakhir selepas terbinanya Loji Rawatan Air Jus Fasa 2 tidak lama lagi.

Berkongsi berita gembira itu, Ketua Pegawai Eksekutif SAMB, Datuk Mohd Saleh Jusman memaklumkan, loji berkenaan kini dalam peringkat akhir reka bentuk dan seterusnya akan melalui fasa permohonan kebenaran merancang sebelum pembinaan.

Menurutnya, pembinaan loji tersebut dijangka mengambil masa 10 bulan dan apabila siap kelak ia berupaya menyumbang penambahan 5 juta liter air untuk penduduk kampung di Selandar, Batang Melaka dan mengunjur ke Felda Bukit Senggeh serta Kemendor.

“Sebelum ini, penduduk di kawasan ini hanya berharap kepada Loji Bertam untuk bekalan air dan antara cabarannya adalah jarak pengepaman itu terlalu jauh sehingga adakalanya sering berlaku gangguan bekalan.

“Jadi dengan terbinanya Loji Rawatan Air Jus Fasa 2 ini, ia akan memberi bekalan air yang mencukupi kepada penduduk desa untuk tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran di Podcast ‘Mana Lagi, Melaka Ler’ di Studio Melaka TV, Kompleks CMI, di sini, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Saleh memaklumkan, SAMB akan turut terlibat pada setiap program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) bagi mendekati rakyat di setiap 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, khususnya sekiranya berdepan isu bekalan air.

Tambah beliau, SAMB juga akan membuka reruai pada WRUR khas untuk rakyat yang mempunyai aduan, selain akan turut membantu penduduk untuk mendaftar menjadi pengguna e-billing yang dapat membantu mereka membuat pembayaran bil air dengan lebih mudah pada bila-bila masa.

“Bagi saya WRUR cetusan idea Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ini adalah salah satu inisiatif terbaik kerana ia dapat mendekatkan agensi dan jabatan seperti SAMB dengan rakyat, selain secara tidak langsung membolehkan rakyat mengetahui peranan serta fungsi syarikat,” ujarnya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

867
Kongsi :
Previous post CUTI SEKOLAH: KOLEJ KOMUNITI JASIN BANTU PROMOSI STEM
Next post CAPTAIN CRUISE TAWAR PENGALAMAN UNIK BUAT KANAK-KANAK