
REMAJA HILANG DITEMUI LEMAH 200 METER BELAKANG RUMAH
TELOK MAS 6 Jun – Remaja lelaki 15 tahun yang dilapor hilang ketika mencari lembu ternakan pada petang Rabu ditemui selamat kira-kira jam 2.08 pagi tadi.
Komander Operasi dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka Pegawai Bomba Tinggi (PBT) I Omera Omar berkata, mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU) pembelajaran ditemui dalam keadaan lemah dan terbaring di bawah pokok di kawasan semak.
Menurutnya, lokasi mangsa dijumpai adalah dalam anggaran jarak 200 meter dari belakang rumah penduduk dan kira-kira 600 meter dari Pos Kawalan Bomba (PKB).
“Mangsa ditemui selamat, namun dalam keadaan lemah dan telah diberi rawatan awal oleh petugas perubatan sebelum dibawa ke Hospital Melaka.
“PKB telah ditutup sepenuhnya pada jam 3.52 pagi selepas tamat operasi pencarian,” katanya.
Omera berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa telah bermula pada malam Rabu lalu sebaik menerima panggilan pada jam 11.54 malam berhubung kehilangan remaja itu.
Katanya, operasi pencarian bermula pada tengah malam semalam di kawasan seluas 4 ekar dengan bantuan penduduk kampung, namun operasi ditangguhkan pada jam 3.14 pagi.
Ujarnya, pada 7.30 pagi semalam, operasi bersambung semula dan PKB telah diaktifkan dengan penetapan talkgroup dan operasi terbahagi kepada empat sektor dengan keluasan enam ekar sehingga kawasan sungai.
Tambahnya, operasi pencarian turut dibantu tiga ekor anjing unit K9 bomba dan PDRM, selain turut melibatkan pemantauan dari udara menggunakan satu unit dron bomba.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.