
WARGA PENDIDIK MELAKA HAYATI IBADAH KORBAN
AYER KEROH 13 Jun – Sebanyak 33 ekor lembu ditumbangkan pada program Qurban Perdana MADANI Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, baru-baru ini.
Program dengan kerjasama EZ Qurban, Pertubuhan Dakwah Islamiah Sekolah-Sekolah Malaysia (PEKDIS), Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGHTO), RHB Bank dan Touch ‘n Go itu melibatkan warga Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, guru-guru, pelajar dan masyarakat setempat.
Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor berkata, program itu diadakan bermatlamat untuk menyemarakkan ibadah korban dalam kalangan warga pendidikan di negeri ini, selain mengukuhkan nilai murni dan kebersamaan dalam institusi pendidikan.
Menurut beliau, daripada 33 ekor lembu yang ditumbangkan, setiap seekor diagihkan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), selain tiga ekor kepada setiap Pejabat Pendidikan Daerah dan tujuh lagi kepada Jabatan Pendidikan Negeri Melaka.
“Menerusi program ini, ia dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang kepentingan ibadah korban dalam kehidupan masyarakat beragama Islam, di samping memperkukuh hubungan silaturahim di antara warga pendidikan dengan masyarakat.
“Pada masa sama, ia juga memberi pengalaman praktikal kepada pelajar tentang proses penyembelihan dan agihan daging korban, selain turut membantu golongan asnaf dan kurang berkemampuan dengan pengagihan daging korban,” katanya.

Dalam pada itu, Mahfudzah turut berharap menerusi program itu, ia dapat memupuk nilai-nilai murni seperti keikhlasan, pengorbanan dan kebersamaan dalam kalangan warga pendidikan dan masyarakat setempat yang terlibat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.