Sorting by

×

13 AGENSI KORPORAT SUMBANG LEBIH RM4.5 JUTA ZAKAT PERNIAGAAN

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

SERI NEGERI 13 Jun – Zakat Melaka terus mencatat prestasi cemerlang dalam kutipan zakat bagi tahun 2025 dengan jumlah keseluruhan kutipan mencecah RM66.56 juta setakat 11 Jun lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM9.1 juta merupakan kutipan zakat perniagaan, termasuk sumbangan besar berjumlah RM4,532,013.57 yang diserahkan oleh 13 agensi korporat dalam Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan yang diadakan di Pejabat Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama pada majlis itu Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad.

Antara agensi korporat yang menyertai penyerahan zakat kali ini ialah Perbadanan Melaka (MCORP) dengan bayaran tertinggi sebanyak RM894,480, diikuti Takaful Malaysia (RM800,000), Kumpulan UTeM Holdings (RM597,621.91) dan Putra Specialist Hospital (Melaka) Sdn Bhd (RM500,000).

Turut menyumbang ialah Selia Selenggara Selatan Sdn Bhd (RM385,963.38), Maybank Islamic Berhad (RM295,041), Bank Muamalat Malaysia Berhad (RM288,372.37), Bank Islam Malaysia Berhad (RM252,000) dan Public Islamic Bank Berhad (RM200,000).

Sumbangan turut diterima daripada Melaka Bekal Sdn Bhd (RM117,149.78), Sun Life Malaysia (RM81,650), Qaizer Consultancy Sdn Bhd (RM80,000) serta Selia Selenggara Engineering Sdn Bhd (RM39,735.13).

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Mohamad Azmi Sabtu berkata, penyertaan 13 agensi itu menunjukkan komitmen kukuh sektor korporat dalam menyokong pembangunan sosioekonomi asnaf melalui institusi zakat.

“Jumlah kutipan zakat perniagaan yang semakin meningkat ini menunjukkan kesedaran dan keprihatinan syarikat korporat terhadap tanggungjawab mereka dalam menunaikan rukun Islam ketiga ini.

“Sehingga 11 Jun lalu, kutipan zakat tertinggi adalah daripada kategori zakat pendapatan berjumlah RM36.5 juta (RM36,507,392.79), diikuti zakat wang simpanan sebanyak RM12.4 juta (RM12,472,793.12) dan zakat perniagaan sebanyak RM9.1 juta (RM9,124,133.50).

“Kutipan zakat harta secara keseluruhan adalah sebanyak RM59.9 juta (RM59,903,485.21). Zakat pendapatan menunjukkan kutipan tertinggi, manakala kutipan zakat terendah adalah zakat ternakan sejumlah RM29,020,” katanya.

Mohamad Azmi turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua agensi kerajaan dan pihak swasta yang menunaikan zakat perniagaan pada tahun ini.

“Diharapkan lebih banyak agensi korporat akan turut serta menyalurkan zakat perniagaan mereka pada tahun akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

627
Kongsi :
Previous post SAGU HATI CUTI BERSALIN GURU KAFA, TADIKA JAIM DITERUSKAN HINGGA 2026 – KM
Next post MELAKA BAIK PULIH 20 SEKOLAH RENDAH AGAMA