Sorting by

×

MELAKA CARI ‘PELAPIS’ PENDERMA DARAH, SASAR ORANG MUDA

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

PENGKALAN BATU 13 Jun – Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) menyasarkan lebih ramai golongan muda untuk tampil dan menjadi pelapis penderma darah yang baharu di negeri ini.

Pengarahnya, Dr. Ruzita Mustaffa berkata, ini kerana angka penderma baharu direkodkan agak rendah berbanding penderma tetap.

Katanya, di Melaka sasaran kutipan darah dibuat Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Melaka antara 28,000 hingga 30,000 beg darah setahun.

“Berdasarkan rekod sepanjang tahun lalu kita merekodkan seramai 5,915 orang penderma baharu dan angka itu jauh lebih rendah dibandingkan dengan penderma tetap iaitu seramai 18,138.

“Manakala untuk tempoh lima bulan pertama tahun ini penderma baharu yang tampil menderma darah adalah seramai 1,950 orang manakala penderma tetap pula seramai 7,602.

“Justeru itu, kami amat menggalakkan lebih ramai penderma baharu khususnya golongan belia untuk tampil menderma darah sekaligus menjadi pelapis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Negeri Melaka 2025, di Hospital Melaka, di sini, hari ini.

Menurut Dr. Ruzita, sambutan pada tahun ini yang bertemakan ‘Give Blood, Give Hope: Together We Save Lives’ menampilkan pelbagai pengisian program bagi memberi kesedaran untuk menarik lebih ramai individu tampil menyelamat nyawa pesakit melalui amalan menderma darah.

“Meskipun konsep sambutan tahun ini seakan sama seperti tahun lalu, namun daripada pengisian program ia lebih menyeluruh dan pelbagai apabila turut memberi penghargaan kepada penderma darah dan pihak penganjur yang sudi bersama-sama mengadakan kempen derma darah.

“Besar harapan agar sambutan diadakan ini dapat memberi inspirasi kepada masyarakat luar selepas mendengar perkongsian dan pengalaman peribadi penderma darah yang menerima manfaat daripada transfusi darah.

“Malah kita jugak berbesar hati apabila mempunyai lebih 20 penganjur yang terdiri daripada pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang begitu komited menjayakan kempen derma darah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

602
Kongsi :
Previous post WARGA PENDIDIK MELAKA HAYATI IBADAH KORBAN
Next post USTAZAH ZAINAP TOKOH GURU JAIM 2025