Sorting by

×

LAMAN RIMBUN TAMAN BACHANG BARU JADI MODEL KEHIJAUAN BANDAR

Masa Membaca:59 Saat

PENGKALAN BATU 15 Jun – Inisiatif penghijauan kawasan kejiranan melalui Program Rakan Taman Laman Rimbun di Taman Bachang Baru mampu mewujudkan komuniti bandar yang produktif dan mesra alam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin berkata, projek itu menjadi model rujukan kepada taman perumahan lain dalam usaha mengurangkan kesan pulau haba bandar serta menyediakan ruang riadah selamat kepada penduduk.

“Alhamdulillah, Taman Bachang Baru telah menerima sumbangan Projek Rakan Taman Laman Rimbun di Jalan BB7, hasil kerjasama Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

“Dengan memanfaatkan kawasan kosong dan tanah lapang yang ada, kita mampu mewujudkan satu ruang hijau.

“Ia bukan sahaja menyumbang kepada pengeluaran makanan seperti sayur-sayuran dan herba, tetapi menyejukkan persekitaran serta merapatkan hubungan kejiranan,” katanya pada program tersebut yang turut dihadiri Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron.

Kalsom yang juga Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri berharap agar penduduk Taman Bachang Baru terus komited menyokong dan menjaga projek berimpak tinggi itu.

“Ini bagi memastikan masyarakat setempat menerima manfaat dalam jangka panjang.

“Program ini merupakan inisiatif komuniti berkonsepkan hijau lestari yang menekankan elemen kebun bandar, landskap mesra rakyat dan pemuliharaan ekosistem setempat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

599
Kongsi :
Previous post KEBAJIKAN GURU JAIM TERBELA, TERIMA KASIH KETUA MENTERI
Next post PELURU BERPANDU TARIKAN BAHARU MUZIUM TLDM