
MELAKA INLAND PORT BAKAL JADI HAB UTAMA PENGANGKUTAN REL
KUALA LUMPUR 13 Jun – Melaka Inland Port atau Pembangunan Pelabuhan Darat Melaka (MIP) bakal merancakkan aktiviti perdagangan negeri ini dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM230.8 juta.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, MIP akan dibangunkan di atas tanah seluas 52.892 hektar di Mukim Taboh Naning, Alor Gajah, di mana ia bertujuan menyokong pertumbuhan infrastruktur jangka panjang.
“Perjanjian ini bukan sekadar satu kontrak, tetapi satu kerjasama strategik yang mencerminkan visi bersama terhadap kecemerlangan industri, pemindahan ilmu dan kemakmuran yang inklusif.
“Projek ini merupakan sebahagian daripada MCORP Hi-Tech Park, sebuah pembangunan berskala besar yang meliputi kawasan seluas 2023.428 hektar (5,000 ekar). Ia terletak secara strategik berhampiran Stesen Keretapi Pulau Sebang, yang bakal menjadi hab utama pengangkutan rel di Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan Antara Perbadanan Melaka (MCORP) dan DS Rail Mobility Sdn Bhd Bagi Pembangunan MIP di sebuah hotel di Kuala Lumpur, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta wakil agensi dan jabatan.
Pada majlis tersebut, Ab Rauf bersama Azhar serta Khaidhirah turut menyaksikan upacara menandatangani perjanjian pajakan di antara MCORP dan DS Rail Mobility Sdn Bhd.
MCORP diwakili Ahli Lembaga Pengarah MCORP, Tuminah Kadi @ Mohd Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif MCORP, Datuk Mohd Yusof Abu Bakar, manakala pihak DS Rail Mobility Sdn Bhd diwakili oleh Pengarah Urusan DS Rail Mobility Sdn Bhd, Dato’ Dzulfadly Abdullah dan Pengarah Komersial DS Rail Mobility Sdn Bhd, Dr. Suresh Chandran.
Sementara itu, perjanjian pajakan tersebut merangkumi tempoh selama 30 tahun dan turut melibatkan pegangan ekuiti sebanyak 12.5 peratus oleh Kerajaan Negeri melalui MCORP, sekali gus memastikan manfaat diperoleh oleh kedua-dua sektor awam dan swasta.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.