
PEJABAT JUALAN MTD PROPERTIES TAMPIL REKA BENTUK MODEN, MESRA PELANGGAN
AYER KEROH 14 Jun – Syarikat pemaju hartanah terkemuka, MTD Properties melancarkan pejabat jualan baharu yang menampilkan konsep moden dan mesra pembeli di Taman Tasik Utama, selaras usaha memperkukuh jenama dan pengalaman pelanggan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTD, Reime Rizal Abdul Aziz berkata, penjenamaan semula ruang pejabat itu bukan sahaja memberi suntikan baharu kepada identiti syarikat, malah menjadi strategi penting dalam memikat pembeli.
“Bila kita mahu menjual produk, kita kena ada ‘modern office’. Jadi kita naik taraf pejabat ini supaya lebih ‘friendly’ kepada pembeli. Sudah tentu reka bentuknya lebih moden dan mempunyai ‘vibe’ berbeza.
“Menariknya, bangunan pejabat jualan ini bukanlah struktur baharu, sebaliknya merupakan bangunan asal berusia 35 tahun yang dinaik taraf selari dengan arus perubahan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian dan Pecah Tanah MTD Nexus 28 Industrial Park serta Pra- Pelancaran MTD Elysia Heights di Pejabat Jualan Metacorp Properties Taman Tasik Utama, di sini, hari ini.
Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.
Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MTD, Dr. Nik Fauzan Nik Faizul; Pengarah Bahagian Koridor Infrastruktur dan Impak Sosial, Irmayanti Ibrahim dan Ketua Pembangunan Hartanah MTD Properties, Wahidatul Al Fairus Wahid.

Menurut Reime Rizal, pembaharuan pejabat jualan itu penting bagi memastikan syarikat terus relevan dan segar dalam penyampaian khidmat kepada pelanggan.
“Reka bentuk kontemporari yang diketengahkan menjadikan ruang jualan ini lebih imersif dan menarik, lengkap dengan paparan ‘scale model’ projek-projek semasa dan akan datang yang dibangunkan oleh MTD Properties.
“Ini bukan sekadar pejabat, tapi juga ruang interaktif untuk bakal pembeli melihat sendiri aspirasi kami dalam pembangunan hartanah mampan dan moden.
“Pejabat jualan ini dibuka kepada orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pelbagai projek perumahan dan perindustrian yang ditawarkan oleh MTD Properties,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.