
PENDIKA SAMBUT BAIK ‘KHABAR GEMBIRA’ BUAT PENGAMAL MEDIA PADA HAWANA 2025
AYER KEROH 16 Jun – Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA) menyambut baik pelbagai inisiatif dan khabar gembira yang diumumkan pada sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di Kuala Lumpur, pada Sabtu.
Pengerusi PENDIKA, Amir Mamat mewakili PENDIKA menzahirkan rasa terima kasih kepada Kerajaan yang terus prihatin terhadap nasib dan kebajikan pengamal media di negara ini.
Katanya, khabar gembira sempena kemuncak HAWANA 2025 diumumkan oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil pada acara yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“HAWANA 2025 menyaksikan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk pengamal media sambilan atau ‘stringer’ dilanjutkan tahun ini dengan peruntukan RM37,170.
“Selain itu, pengumuman tawaran diskaun 50 peratus bagi pembelian tiket penerbangan pergi balik ke mana-mana 57 destinasi di negara anggota ASEAN, khusus untuk semua pemegang Kad Perakuan Media warganegara Malaysia dan tempahan boleh dibuat hingga 31 Dis ini dengan tempoh penerbangan bermula April hingga September 2026.
“Terdapat beberapa insentif dan inisiatif lain buat pengamal media negara yang jelas memberi makna buat mereka antara barisan hadapan dan wira tidak didendang ini,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Amir berkata sambutan HAWANA 2025 bertemakan ‘Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika’ itu turut menyaksikan detik bersejarah apabila Akta Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 berkuat kuasa serta merta dan Lembaga Pengasas MMM dimuktamadkan dengan pengumuman barisan 12 anggota.
“Penguatkuasaan akta itu menjadi kemuncak kepada perbincangan bertahun-tahun lamanya yang bertujuan menubuhkan badan kawal selia kendiri untuk memperkasakan pengamal media sambil memastikan akauntabiliti, seterusnya menangani kebimbangan orang ramai mengenai amalan media.
Untuk rekod, sambutan HAWANA mula diperkenalkan pada 2018 sebagai pengiktirafan kepada sumbangan wartawan dalam pembangunan negara, dan tarikh 29 Mei dipilih mengambil sempena penerbitan pertama akhbar Utusan Melayu pada 1939.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.