
PEKERJA KEDAI CUCI KERETA PARAH, KERETA DIPANDU TERJUNAM DARI TINGKAT TIGA
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata kejadian berlaku kira-kira 5.38 petang melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Camry yang dipandu lelaki warga Afghanistan berusia 23 tahun.
“Siasatan awal mendapati lelaki yang bekerja sebagai pencuci kereta itu dipercayai hilang kawalan ketika mahu meletakkan kenderaan milik pelanggan selepas dicuci.
“Dia dipercayai tersilap menekan pedal minyak menyebabkan kenderaan itu melanggar tembok dan terjatuh dari tingkat tiga sebelum menghempap dua kenderaan lain, iaitu Proton Iriz dan Perodua Myvi yang diparkir di bawah bangunan terbabit,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Bagaimanapun, katanya kedua-dua pemilik kereta berkenaan tiada di dalam kenderaan terbabit ketika kejadian itu berlaku.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan parah dan dibawa ke zon merah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.