Sorting by

×

ORANG RAMAI DIPELAWA SERTAI PERTANDINGAN NAMAKAN BUAH IKONIK MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 16 Jun – Rakyat Melaka dipelawa untuk bersama-sama menjayakan usaha penjenamaan jambu batu Lohan atau Jambu Melaka yang terkenal kerana keenakannya menerusi pertandingan khas dianjurkan sempena Melaka Agrofest 2025 di Dataran Sejarah, Ayer Keroh, di sini, dari 27 hingga 29 Jun ini.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, usaha penjemanaan dilaksanakan menerusi pertandingan menamakan buah ikonik bagi Melaka itu yang diiktiraf sebagai antara terbaik di Malaysia.

“Orang Melaka boleh serlahkan kreativiti anda menerusi pertandingan ini yang terbuka kepada semua, jika idea dicadangkan itu menarik, buah ikonik ketika ini kita panggil Jambu Melaka akan dijenamakan semula. Mungkin namanya selepas ini menjadi Jambu Hang Tuah atau Jambu Hang Jebat, bagaimanapun kita tunggu penyertaan dan kreativiti rakyat Melaka.

“Insya-Allah hari terakhir Melaka Agrofest 2025 iaitu pada Ahad akan berlangsung peluncuran Jambu Melaka ini. Bersempena peluncuran ini kita akan agihkan sebanyak 4.5 tan metrik jambu percuma,” katanya pada sidang media Melaka Agrofest 2025 di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Melaka, Rozli Azizi Talib.

Tambahnya Dr. Muhamad Akmal, Melaka Agrofest 2025 menyasarkan sekurang-kurangnya 50,000 pengunjung dengan nilai jualan mencecah RM1.5 juta, sama seperti pencapaian tahun lalu.

“Lebih menarik, penganjuran kali ini adalah ketika musim durian di Melaka. Justeru, pengunjung turut berpeluang menyertai Kendurian-Jualan Durian Murah yang akan diadakan pada 28 dan 29 Jun.

“Pada hari Sabtu (28 Jun) kita akan jual durian pada harga jauh lebih murah berbanding pasaran. Manakala pada hari Ahad pula, kita buka peluang untuk orang ramai makan durian sampai puas pada kadar hanya RM15 seorang.

“Namun makan durian ini terhad kepada 1,000 orang pertama sahaja, peserta terpantas dan terbanyak makan durian berpeluang memenangi hadiah menarik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

770
Kongsi :
Previous post MELAKA AGROFEST 2025: SEDIA HADIAH CABUTAN BERTUAH ANAK LEMBU SADO
Next post MAUT GARA-GARA KERETA BUAT PUSINGAN U