Sorting by

×

MAUT GARA-GARA KERETA BUAT PUSINGAN U

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

REMBIA 16 Jun – Penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah kereta di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Sungai Petai, Alor Gajah, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi itu, Mohd Riza Abu Zarin, 45, yang menunggang motosikal jenis Honda RS150R FS meninggal dunia di tempat kejadian akibat pendarahan di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Pekan Rembia menghala ke Bandar Alor Gajah.

Katanya, ketika tiba di lokasi, iaitu di jalan berselekoh dan menurun bukit, sebuah kereta Perodua Axia dipandu lelaki berusia 22 tahun dari arah bertentangan telah membuat pusingan U dan terlanggar hadapan motosikal ditunggang mangsa.

“Akibat rempuhan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta mengalami pendarahan di bahagian muka dan dada.

“Mangsa yang meninggal dunia telah dibawa ke Hospital Alor Gajah dan Pol 61 telah dikeluarkan bagi menjalankan bedah siasat, manakala pemandu kereta yang cedera kini dirawat di unit kecemasan Hospital Alor Gajah,” katanya.

Beliau berkata, sampel darah pemandu kereta telah diambil dan kedua-dua kenderaan terlibat telah dibawa ke PUSPAKOM Rembia bagi pemeriksaan.

Menurutnya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1036
Kongsi :
Previous post ORANG RAMAI DIPELAWA SERTAI PERTANDINGAN NAMAKAN BUAH IKONIK MELAKA
Next post 1,000 VETERAN ATM MELAKA DAN NEGERI SEMBILAN TERIMA PJM