Sorting by

×

ANUGERAH INDUSTRI CEMERLANG JADI PEMANGKIN SEKTOR INDUSTRI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 17 Jun – Melaka bakal menganjurkan Anugerah Kecemerlangan Industri Ketua Menteri (CMIEA) 2025 pada November ini bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang pemain industri di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka Berhad, Datuk Ginie Lim Siew Lin berkata, penganjuran semula CMIEA selepas 10 tahun merupakan inisiatif Kerajaan Negeri dengan kerjasama Perbadanan Melaka (MCORP), Invest Melaka Berhad dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

“CMIEA kali ini bukan sahaja bertujuan memberi penghargaan kepada industri yang berjaya, malah menjadi platform untuk merangsang pertumbuhan sektor perindustrian Melaka.

“Kita mahu industri di negeri ini bukan sahaja cemerlang di peringkat tempatan, tetapi juga menepati piawaian antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas perasmian Program Roadshow CMIEA 2025 yang disempurnakan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh di Auditorium Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Hadir sama, Pengurus Kanan Pejabat Wilayah Selatan MPC, Azimah Adnan.

Menurut Ginie, lebih 50 syarikat hadir ke sesi taklimat penyertaan yang diadakan hari ini sebagai langkah permulaan ke arah penglibatan industri dalam anugerah berprestij itu.

“Tarikh tutup penyertaan adalah pada 31 Julai 2025, manakala majlis penyampaian anugerah dijadual berlangsung pada November ini.

“Sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu Anugerah Ketua Menteri, Anugerah Kecemerlangan Sektor Pembuatan, Anugerah Kecemerlangan Perkhidmatan, Anugerah Kecemerlangan Paling Menjanjikan dan Anugerah Kecemerlangan Kategori Terbuka.

“Semua kategori ini terbuka kepada industri di seluruh Melaka. Kami juga akan meneruskan sesi jelajah untuk memberi penerangan kepada syarikat yang tidak berpeluang hadir kali ini,” katanya.

Jelas beliau, MPC akan memainkan peranan penting dalam membimbing peserta sepanjang proses penyertaan bagi memastikan mereka bersedia dan menepati piawaian ditetapkan.

“Pemenang CMIEA juga akan secara automatik layak menyertai pertandingan anugerah industri di peringkat kebangsaan pada tahun hadapan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ginie berkata penganjuran semula CMIEA dilihat sebagai langkah strategik untuk memastikan sektor industri di Melaka kekal relevan dan kompetitif.

“Kita mahu industri kita sentiasa seiring dengan perubahan dan bersedia bersaing di peringkat global,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

480
Kongsi :
Previous post ANGKAT SEMULA KEGEMILANGAN SUNGAI MELAKA
Next post INDUSTRI MELAKA KE ARAH LEBIH KOMPETITIF, BERTARAF DUNIA