Sorting by

×

INDUSTRI MELAKA KE ARAH LEBIH KOMPETITIF, BERTARAF DUNIA

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 17 Jun – Sektor industri di negeri ini digalakkan agar lebih progresif, berdaya saing dan mampu menepati piawaian antarabangsa selaras dengan aspirasi menjadikan Melaka sebagai hab pelaburan utama di rantau ini.

Antara inisiatif dilaksanakan ialah penganjuran Anugerah Kecemerlangan Industri Ketua Menteri (CMIEA) 2025, iaitu platform pengiktirafan berprestij bagi memberi penghargaan kepada syarikat tempatan dan multinasional atas kecemerlangan serta sumbangan kepada pembangunan negeri.

Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh berkata, CMIEA diyakini mampu menyemarakkan budaya kecemerlangan dalam kalangan industri selain mengangkat nama Melaka di pentas nasional dan antarabangsa.

“Program jelajah seperti hari ini sangat penting untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai struktur anugerah, proses penilaian, kategori penyertaan serta faedah yang boleh dimanfaatkan.

“Saya percaya inisiatif ini akan menarik penyertaan lebih berkualiti dan memperkukuh penanda aras prestasi industri negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Roadshow CMIEA 2025 di Auditorium Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka Berhad, Datuk Ginie Lim Siew Lin dan Pengurus Kanan Pejabat Wilayah Selatan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Azimah Adnan.

Tambah Salhah, CMIEA bukan sekadar simbolik, sebaliknya menjadi pemangkin kerjasama antara industri, peluang ‘benchmarking’ serta galakan kepada amalan terbaik dalam sektor masing-masing.

“Syarikat memenangi CMIEA akan layak bertanding di peringkat kebangsaan pada tahun hadapan. Ini merupakan peluang besar yang seharusnya dimanfaatkan sebaiknya,” katanya.

Penyertaan bagi CMIEA dibuka sehingga 31 Julai ini, manakala majlis penyampaian anugerah dijadual berlangsung pada November 2025.

Sebanyak lima kategori akan dipertandingkan iaitu Anugerah Ketua Menteri, Anugerah Kecemerlangan Sektor Pembuatan, Anugerah Kecemerlangan Perkhidmatan, Anugerah Kecemerlangan Paling Menjanjikan dan Anugerah Kategori Terbuka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

495
Kongsi :
Previous post ANUGERAH INDUSTRI CEMERLANG JADI PEMANGKIN SEKTOR INDUSTRI MELAKA
Next post DUA LELAKI TERMASUK WARGA PAKISTAN MAUT KEMALANGAN