
PENGAMAL MEDIA MELAKA SERTAI KURSUS AI, TINGKAT KEMAHIRAN DIGITAL
PENGKALAN BATU 18 Jun – Penganjuran Kursus Penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) khusus buat pengamal media memberi ilmu baharu memperkasa kemahiran digital dalam kegunaan harian seiring dengan perubahan teknologi semasa.
Inisiatif digital bertujuan menggalakkan pengamal media meneroka selain memanfaatkan AI itu dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) bersempena Jelajah Pembelajaran NTW 2025 di Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM), di sini, semalam.
Menurut Wartawan China Press, Moniqa Tay, 50, pendedahan terhadap teknologi AI membuka dimensi baharu dalam bidang kewartawanan khususnya dari segi penghasilan berita lebih pantas.
“Kursus AI membuka minda tentang potensi AI dalam proses penulisan berita malah mempercepat proses penyuntingan dan memberi idea,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kota Laksamana, Nurfadhlin Sarah Zainal, 32, berkata ilmu dipelajari menerusi kursus itu sangat membantu dalam pekerjaan hariannya.
“Seperti kami di NADI, perlu membuat hantaran berkaitan dasar-dasar kerajaan yang mana setiap hari jika sibuk dengan pekerjaan lain dan memerlukan kami membuat hantaran, kadang-kadang tiada idea, namun dengan adanya aplikasi AI ini membantu meringankan bebanan kami,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Turut berkongsi pandangan, Wartawan Penyiaran Melaka TV, Mohd Faiz Abu Hasan berkata, kursus AI itu dilihat sebagai usaha memperkasa pengamal media tempatan agar lebih bersedia dan kompeten mendepani cabaran landskap komunikasi media digital masa kini.
“Kursus ini membantu pengamal media yang bertugas di lapangan, malahan ia bukan sahaja mengenai teknikal namun turut menyentuh aspek etika penggunaan AI dalam media,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.