Sorting by

×

KBS PERUNTUK RM2 JUTA SANTUNI BEKAS ATLET KEBANGSAAN

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

TELOK MAS 17 Jun – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan sejumlah RM2 juta kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) untuk menyantuni bekas atlet yang bernaung di bawah yayasan itu sepanjang tahun ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, setiap tahun KBS akan usahakan sejumlah peruntukan kepada YAKEB agar badan kebajikan itu dapat terus menyantuni kira-kira 3,200 ahlinya yang memerlukan bantuan.

“Setiap tahun KBS menerusi belanjawan akan menyalurkan peruntukan kepada YAKEB membantu bekas-bekas atlet kebangsaan dan tahun ini kita peruntukan sejumlah RM2 juta.

“Selain itu, YAKEB sendiri turut bergerak untuk mendapatkan dana sebagai tambahan bagi memperkasakan lagi bantuan yang ada di bawah YAKEB antaranya khairat kematian, rawatan perubatan hospital dan bantuan kewangan.

“Menerusi peruntukan yang diperoleh, YAKEB dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik dalam menyantuni dan membantu ahli-ahli,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan khairat kematian kepada isteri mendiang bekas pemain bola sepak kebangsaan Robert Choe Kim Chwee dengan diiringi Pengerusi YAKEB Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Taman Maylian, Ujong Pasir, di sini, hari ini.

Menurut Adam Adli, sehingga Mei tahun ini, hampir RM250,000 dibelanjakan menerusi skim bantuan khas di bawah YAKEB untuk ahli dan juga pembayaran khairat kematian.

“Hampir setiap minggu YAKEB akan keluar untuk menyalurkan bantuan kepada bekas-bekas atlet ini dan sehingga bulan lalu seramai 508 ahli disantuni.

“Selain bantuan khas, YAKEB turut menyediakan latihan semula untuk bekas atlet mengikuti kursus-kursus tertentu sama ada dalam bidang pertanian mahupun pembinaan.

“Seperti sedia maklum, tidak semua bekas atlet berusia malah yang masih muda, jadi YAKEB dengan kerjasama pihak berkaitan akan membantu untuk atlet ini mengikuti kursus malah sehingga kini seramai 29 bekas atlet telah diberikan latihan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3360
Kongsi :
Previous post KERAJAAN GUBAL AKTA PEMBANGUNAN KEMAHIRAN KEBANGSAAN 2006 UNTUK PERKASA TVET