
PETUGAS PEMBERSIHAN ‘WIRA’ BANDARAYA
BANDA HILIR 18 Jun – Tugas mereka yang di sebalik tabir menyebabkan ramai ‘terlupa’ mengenai jasa petugas pembersihan yang sebenarnya memainkan peranan amat penting dalam memastikan kebersihan dan kesejahteraan negeri ini.
Bagi menghargai sumbangan wira tidak didendang ini yang melaksanakan tugas dalam diam, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menganjurkan Program Santuni Petugas Pembersihan sempena Sambutan Hari Pekerja Pembersihan Peringkat MBMB di Rumah Belanda, Banda Hilir, di sini, semalam.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata pekerja pembersihan adalah wira tidak didendang, namun memainkan peranan besar dalam membentuk imej dan reputasi Bandaraya Melaka.
“Tanpa mereka, tidak mungkin kawasan bandaraya dapat dikekalkan dalam keadaan bersih, teratur dan indah seperti yang kita lihat hari ini.
“Mereka berkerja dari awal pagi, hingga lewat malam, hujan atau panas, demi memastikan setiap sudut bandaraya berada dalam keadaan terbaik,” katanya.
Pada program itu kira-kira 50 petugas pembersihan telah diraikan sebagai tanda menghargai atas jasa dan tanggungjawab mereka dalam memastikan kawasan pentadbiran MBMB kekal bersih serta terpelihara.
Hadir sama meraikan petugas pembersihan berkenaan adalah Setiausaha MBMB, Muhammad Firdaus Shariff.
Shadan, turut meminta semua pekerja pembersihan MBMB agar dapat bekerjasama dalam menjayakan acara besar Kerajaan Negeri iaitu Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) dan Persidangan Pelancongan Sedunia 2025 (WTC2025).
“Melaka akan menjadi tumpuan dunia dan sudah pasti aspek kebersihan menjadi keutamaan. Saya meminta semua pasukan pembersihan untuk terus bersedia bermula sekarang bagi memastikan kejayaan penganjuran acara berprestij ini,” katanya.
Program berkenaan turut diserikan dengan penyampaian cenderahati dan jamuan ringan sebagai tanda penghargaan kepada semua petugas pembersihan MBMB.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.