
JPJ MELAKA KUTIP LEBIH RM62,000 HASIL LELONGAN 50 KENDERAAN
BUKIT KATIL 18 Jun – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka berjaya mengutip RM62,100.50 hasil lelongan 50 unit pelbagai jenis kenderaan yang dilucut hak pada Lelongan Awam Kenderaan Lucuthak Siri 1/2025 JPJ Negeri Melaka.
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, lelongan siri pertama untuk tahun 2025 itu membabitkan 39 unit motosikal, motokar (8), panel van (2) dan sebuah ‘window van’.
“Siri lelongan awam kali ini melibatkan kehadiran seramai 54 pembida dan kesemua kenderaan berkenaan sudah dilucut hak oleh mahkamah, namun enam buah sudah tidak boleh dilesenkan atau dikategorikan sebagai kenderaan ‘scrap’.
“Harga rizab paling rendah adalah motosikal iaitu RM67, sementara itu harga tertinggi lelongan adalah lori rigid kargo dibida pada harga RM8,700. Selesai sesi lelongan JPJ Melaka berjaya mengutip sebanyak RM62,100.50,” katanya pada sidang selepas tamat sesi lelongan awam berkenaan yang berlangsung di Dewan Tun Fatimah, Ibu Pejabat JPJ Melaka, di sini, hari ini.
Siti Zarina berkata , lelongan itu dilaksanakan berikutan pemilik berdaftar tidak menuntut kenderaan meskipun sudah tamat tempoh pemberitahuan iaitu selepas tiga bulan pertama dan tambahan 30 hari surat peringatan diberikan.
“Ruang tahanan sita amat terhad dan tidak boleh menampung kenderaan yang bertambah antara sebab lelongan awam ini dilaksanakan. Kenderaan ini disita atas kesalahan seperti Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada LKM, memandu bawah umur, kesalahan teknikal termasuk gangguan enjin dan casis serta tiada perlindungan insurans,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.