Sorting by

×

PSV TAMAT TEMPOH, GUNA TELEFON BIMBIT KETIKA MEMANDU ANTARA KESALAHAN DIKESAN DALAM OP PINKY

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BUKIT KATIL 18 Jun – Sebanyak 39 notis saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka terhadap pengendali dan pemandu bas henti-henti menerusi operasi khas Op Pinky dijalankan semalam.

Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, operasi kira-kira lapan jam bermula 8.30 pagi diadakan susulan aduan awam diterima pihaknya selain beberapa siri kemalangan yang melibatkan bas henti-henti di negeri ini.

“Sepanjang operasi sebanyak 34 buah bas henti-henti telah diperiksa oleh penguatkuasa bertugas dan hasilnya 14 bas dikenakan tindakan. Susulan itu juga sebanyak 39 notis saman dikeluarkan dengan 25 kesalahan direkodkan, saman paling tinggi dikeluarkan pula membabitkan notis JPJ(P) 22 dengan 16 notis.

“Antara kesalahan yang dikesan pula adalah menggunakan telefon bimbit ketika memandu, membuat pusingan U di lokasi tidak dibenarkan, gagal berhenti semasa ditahan penumpang, menurunkan penumpang di tempat tidak dibenarkan dan lesen memandu vokasional (PSV) tamat tempoh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Lelongan Awam Kenderaan Lucuthak Siri 1/2025 JPJ Negeri Melaka di di Dewan Tun Fatimah, Ibu Pejabat JPJ Melaka, di sini, hari ini.

Menurut Siti Zarina, dalam operasi sama seramai 39 anggota penguatkuasa melakukan penyamaran dengan menaiki bas sebagai penumpang bagi mengesan tatakelakuan pemandu semasa bertugas.

“Justeru itu kami menasihatkan syarikat pengendali, pemilik mahupun pemandu kenderaan perkhidmatan awam (KPA) agar sentiasa mematuhi segala peraturan dan undang-undang ditetapkan.

“JPJ Melaka komited melaksanakan penguatkuasaan berterusan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam sentiasa berada pada tahap tinggi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

397
Kongsi :
Previous post MPHTJ TAWAR KONSULTASI PERMOHONAN LESEN SECARA PERCUMA
Next post MELAKA-MUEHLBAUER JALIN KERJASAMA TEROKA TEKNOLOGI ID, BIOMETRIK