Sorting by

×

INFRASTRUKTUR, JALAN RAYA DI BEMBAN JADI FOKUS WRUR

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

BEMBAN 21 Jun – Penambahbaikan infrastruktur dan jalan raya antara fokus dan keutamaan pada Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban yang berlangsung 22 Jun hingga 5 Julai depan.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, antara kerja-kerja penambahbaikan yang akan dilaksanakan adalah seperti penurapan jalan, pelebaran laluan serta pemasangan perabot jalan seperti papan tanda serta pemasangan cermin keselamatan.

Selain itu, kata beliau, sebuah jalan pintasan baharu yang menghubungkan Bemban ke Serkam juga akan dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sebagai simbolik utama inisiatif turun padang ke setiap DUN itu.

“Pelbagai usaha akan dilaksanakan menerusi portfolio Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri inisiatif WRUR Bemban ini nanti.

“Kesemua inisiatif ini bakal dilaksanakan untuk memastikan pembangunan infrastruktur dalam kawasan terlibat lebih baik demi keselesaan penduduk sekitar DUN Bemban,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Hameed berkata selain isu infrastruktur, faktor keselamatan juga menjadi keutamaan yang mana menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan diadakan program advokasi di sekolah terpilih sekitar DUN Bemban.

“Sebanyak 15 buah sekolah yang akan terlibat untuk program keselamatan jalan raya dan mengikut pecahan, lima buah sekolah rendah, lima buah sekolah menengah dan lima buah sekolah jenis kebangsaan (SJK).

“Kita akan beri penerangan lebih jelas mengenai keselamatan jalan raya, cara melintas jalan yang betul serta pelbagai lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

232
Kongsi :
Previous post PRA PELUNCURAN WTD 2025: MBMB TINGKAT KECERIAAN BANDARAYA MELAKA
Next post PRA-PELUNCURAN WTD 2025 PENUH GILANG-GEMILANG