Sorting by

×

POLITEKNIK MERLIMAU TUAN RUMAH ‘PIALA DUNIA ROBOT’ 2025

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

MERLIMAU 22 Jun – Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), melalui Bahagian Kurikulum dengan kerjasama Federation of International Robot-Sport Association (FIRA) Malaysia Chapter dan Politeknik Merlimau Melaka (PMM), akan menganjurkan 18ᵗʰ Malaysia FIRA RoboWorld Cup 2025.

Program yang diadakan di Politeknik Merlimau bermula semalam hingga 26 Jun ini menyasarkan seramai 4,875 peserta terdiri daripada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC), sekolah rendah dan Menengah serta peserta antarabangsa menerusi sembilan kategori dan 25 sub kategori untuk mempersembahkan inovasi dalam bidang robotik dan teknologi pintar.

Pengarah Politeknik Merlimau Melaka Norizam Sekak berkata, sembilan kategori yang dipertandingkan adalah FIRA Air Drone; Autonomous Car Challenge (ACC); Business & Innovation; Simurosot; HuroCup; AndroSot; Robosot; Artificial Intelligent Robot (AIBot) dan FIRA MyBOT Youth.

Jelas beliau, semua kategori itu melibatkan elemen-elemen pengetahuan, aplikasi dan kemahiran penting yang perlu dikuasai oleh generasi masa kini antaranya adalah Pengesanan Posisi Lokasi menggunakan Global Positioning System (GPS), Pengesanan dan Pemprosesan Imej (Image Processing Control), Kawalan Keseimbangan menggunakan Gyroscope, dan Kawalan Kelajuan Autonomi (Autonomous Accelerator).

Menurutnya lagi, peserta juga perlu menyahut cabaran mengikut acara yang dipertandingkan dalam menguji tahap keupayaan koginitif, psikomotor dan afektif.

“Segmen utama pertandingan memfokuskan kategori HuroCup, Robosot, AiBot, SimuroSot, Autonomous Car Challenge (ACC), AndroSot, Business & Innovation, Air Drone dan kategori khas MyBOT.

“Aktiviti tambahan seperti RC Air Show, Drone Soccer, Mini RC Soccer, SumoRobot, Karnival Keusahawanan dan cubaan mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) turut dijadualkan berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, matlamat utama penganjuran kejohanan itu adalah untuk menggalakkan minat terhadap bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM), selain memperkukuh hubungan industri dan institusi pendidikan serta membina kemahiran pelajar dalam kepimpinan dan teknologi.

“Kejohanan ini juga memberi peluang untuk mengetengahkan bakat tempatan ke peringkat antarabangsa dan mempromosikan jenama PolyCC sebagai pemacu utama TVET negara,” ujarnya.

Beliau berkata, kejohanan itu akan disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir pada 26 Jun di Dewan Platinum Politeknik Merlimau Melaka.

Kejohanan itu akan turut diserikan dengan kehadiran Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau.

Bersempena kejohanan itu, turut diadakan FIRA Youth Robotics Symposium 2025 pada 23 Jun dengan tema “Pioneering Sustainable Robotics”.

Simposium itu akan menghimpunkan pelajar dan penyelidik dari bidang automasi dan teknologi lestari untuk membentangkan hasil kajian, sejajar dengan aspirasi nasional Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memacu agenda kelestarian dan digitalisasi pendidikan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

662
Kongsi :
Previous post SAMBUTAN TIGA DEKAD MUZIUM SAMUDERA TAHUN INI
Next post NTW@PRISON: BUKA SINAR BAHARU BUAT PENGHUNI TIRAI BESI