
GALAK BELIA MELAKA KUASAI BIDANG ROBOTIK DAN AEROANGKASA
MERLIMAU 1 Julai – Program Airborne Innovation International RC Jet (Jet Kawalan Jauh) Competition (AIIRC) bersempena penganjuran 18th Malaysia FIRA RoboWorld Cup 2025 di Politeknik Merlimau Melaka (PMM) antara platform boleh dikembangkan bagi menarik minat belia Melaka dalam bidang teknologi dan inovasi.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, acara berprestij itu menghimpunkan seramai 75 peserta mewakili 15 pasukan tempatan serta luar negara.
Katanya, kepentingan kolaborasi antara Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta sektor aeroangkasa dapat memperkasa tenaga kerja kemahiran tinggi termasuk menerusi program ‘training of trainers’.
“Acara ini menerima penyertaan antarabangsa seperti Bangladesh, India, China, Sudan, Korea Selatan dan Indonesia seterusnya menjadikan antara pertandingan teknologi paling meriah dalam kalendar 2025.
“AIIRC 2025 bukan sekadar pertunjukan kehebatan jet kawalan jauh (RC) malah menjadi medan pembelajaran interaktif dengan penekanan terhadap aspek reka bentuk aerodinamik, struktur pesawat, kawalan penerbangan dan keselamatan,” katanya ketika berucap semasa merasmikan AIIRC 2025 di PMM baru-baru ini.
Sementara itu Pengarah PMM Norizam Sekak berkata, pihaknya mahu pertandingan seumpama itu dikembangkan ke peringkat nasional bagi memupuk minat pelajar serta masyarakat terhadap bidang teknologi.
“Usaha ini dilihat mampu merangsang kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam kalangan belia selain memperkukuh peranan PMM sebagai hab pendidikan dan inovasi bertaraf antarabangsa dalam bidang TVET,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.