
PENJAJA ‘EYE ON MELAKA’ KINI SELESA DI TEMPAT BAHARU
AYER KEROH 2 Julai – Penjaja sebelum ini mencari rezeki sekitar Eye On Melaka, memberikan maklum balas positif selepas memulakan perniagaan di lokasi baharu yang disifatkan sebagai lebih tersusun, selamat dan selesa.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, menerusi inisiatif itu penjaja berkenaan ditempatkan semula di tapak perniagaan baharu di Selat Avenue dan Uptown Jejantas Tun Teja.
Jelas beliau, tujuan penempatan semula penjaja berkenaan bukan sahaja untuk menyusun aktiviti perniagaan agar lebih teratur, sebaliknya dilaksanakan atas faktor menjamin keselamatan peniaga dan pelanggan.
“Susulan pembukaan jalan sambungan Kota Syahbandar berlaku peningkatan ketara jumlah kenderaan sekitar Eye On Melaka berbanding sebelum ini.
“Sebelum ini, laluan itu kurang digunakan kerana tidak menghubungkan ke mana-mana kawasan utama. Tetapi kini ia menjadi penghubung penting antara Kota Syahbandar dan Klebang, sekali gus memerlukan perhatian terhadap aspek keselamatan,” katanya ketika wawancara khas bersama Melaka Hari Ini di pejabatnya di Bangunan Graha Makmur MBMB, di sini, semalam.
Menurut beliau, sebanyak 50 notis pemberitahuan telah dikeluarkan kepada penjaja di kawasan itu dan setakat ini, separuh telah berpindah ke tapak perniagaan baharu.
“Kita memberi tempoh sehingga hari ini (semalam) untuk semua peniaga berpindah dan alhamdulillah, sambutannya amat baik. Tapak baharu ini lebih ceria, teratur, bersih dan selamat berbanding tapak lama yang tidak lagi sesuai digunakan secara terbuka,” ujarnya.
Tambah beliau, pelaksanaan pemindahan itu turut mendapat perhatian Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang turun padang meninjau sendiri keadaan semasa pada hari pertama pemindahan dijalankan, Rabu lalu.
“Ketua Menteri menyokong usaha ini kerana ia bukan sahaja memberi keselesaan kepada peniaga tetapi juga menjamin keselamatan pengunjung serta menambah baik imej kawasan pelancongan.
“Justeru saya meminta para peniaga yang masih beroperasi di lokasi lama segera berpindah dan patuhi arahan telah dikeluarkan demi memastikan kebersihan dan keselamatan persekitaran terus terjaga,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.