
DISKAUN KOMPAUN SEHINGGA 80 PERATUS DI HARI BERTEMU PELANGGAN MBMB
AYER KEROH 3 Julai – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan mengadakan Hari Bertemu Pelanggan MBMB 2025 pada 8 Julai ini (Selasa) di Dewan Taming Sari MBMB dari jam 9 pagi hingga 4 petang.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, pelbagai inisiatif menarik ditawarkan kepada orang ramai sempena program itu, termasuk pengurangan kompaun dan caj perkhidmatan tertentu.
“Paling menarik ialah pengurangan sebanyak 80 peratus bagi semua jenis kompaun MBMB, kecuali kes melibatkan status dilepas tanpa dibebaskan (DNAA), saman dan tindakan mahkamah, kesalahan kerja tanah tanpa permit, isu sampah, kekotoran, enakmen hiburan dan tempat-tempat hiburan.
“Selain itu, terdapat juga pengurangan 50 peratus bagi caj perkhidmatan cukai taksiran harta dengan syarat tunggakan diselesaikan sepenuhnya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Tambah beliau, MBMB turut menawarkan perkhidmatan percuma bagi proses tukar nama pemilik harta (Borang I), disamping beberapa insentif lain.
“Antara insentif lain pengurangan 30 peratus tunggakan sewa gerai, pasar dan lot niaga (dengan syarat diselesaikan sepenuhnya) serta pengurangan 10 peratus caj suntikan vaksin tifoid (bagi warganegara Malaysia sahaja).
“Program ini turut disertai oleh beberapa agensi kerajaan lain yang akan membuka kaunter bagi memudahkan urusan orang awam. Ini adalah peluang terbaik untuk orang ramai menyelesaikan urusan tertunggak dan mendapatkan maklumat secara terus daripada pihak MBMB serta agensi berkaitan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.