Sorting by

×

SENI DAN BUDAYA BENTUK IDENTITI BANGSA

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

BANDA HILIR 2 Julai – Seni dan budaya adalah roh bangsa dan denyut nadi yang membentuk identiti kita sebagai rakyat Malaysia, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, ia bukan sekadar warisan yang diturunkan, tetapi kekuatan menyatukan, menyuburkan jati diri dan membina jambatan merentas perbezaan.

Katanya, penganjuran wacana ilmiah seperti Bicara Seni Budaya Tahun 2025 sebenarnya tersirat makna amat besar kerana ia adalah menjadi medan pemikiran, tempat bertemunya tradisi dan intelek satu pertembungan antara akar budaya, cabaran semasa, untuk membina hala tuju yang lestari serta progresif.

“Sejujurnya, saya amat menghargai kehadiran 11 orang pemakalah terkemuka dalam kalangan ilmuwan, cendekiawan, tokoh budaya dan seorang wakil khas dari Institut Seni di Indonesia, kerana tuan-tuan dan puan-puan adalah warisan hidup, penjaga khazanah ilmu serta pewaris tamadun bangsa.

“Kehadiran tuan puan bukan sahaja membanggakan, malah menjadi bukti bahawa dunia masih menoleh ke Melaka sebagai pusat rujukan budaya dan tamadun,” kata Ketua Menteri ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Bicara Seni Budaya Tahun 2025 di Dewan PERZIM, Muzium Rakyat, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman bersama Timbalannya, Datuk Zaidi Attan; Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Negeri Melaka, Ezlina Alias dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak (ITP), Prof Madya Dr. Mohamad Ainuddin Iskandar Lee Abdullah.

Ab Rauf berkata, wacana ilmiah seumpama itu bukan sekadar medan ilmu, malah menjadi pencetus revolusi seni budaya, mampu membentuk dasar, memperkasa dasar dan membina jaringan rentas negara.

“Kita tidak mahu seni budaya hanya tinggal dalam manuskrip dan muzium. Ia perlu terus hidup, bernafas dan bersuara menjadi sebahagian daripada cara hidup serta ekspresi bangsa di abad ini,” katanya.

Penganjuran program itu dijayakan oleh JKKN Negeri Melaka dan ITP, disusun dengan pelbagai aktiviti seperti Ronggeng Rakyat, Dondang Sayang dan seni halus.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1113
Kongsi :
Previous post HLN2025: PASUKAN LANDSKAP KOLEJ KOMUNITI SELANDAR HARUMKAN NAMA MELAKA
Next post EMPAT KOMITMEN MELAKA LESTARIKAN SENI DAN BUDAYA