
EMPAT KOMITMEN MELAKA LESTARIKAN SENI DAN BUDAYA
BANDA HILIR 3 Julai – Kerajaan Melaka tidak pernah memandang seni dan budaya sebagai elemen pinggiran, sebaliknya diangkat sebagai teras penting dalam kerangka pembangunan negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, komitmen Kerajaan Negeri terhadap seni dan budaya juga adalah seiring dengan status Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Kata Ketua Menteri, komitmen itu dizahirkan melalui pelbagai inisiatif yang antaranya, Melaka kini sedang giat meluruskan kebengkokan sejarah melalui kajian-kajian dan penyelidikan sejarah.
“Turut dilaksanakan adalah naik taraf Panggung Bangsawan Melaka, menjadi pusat persembahan warisan Melayu berkapasiti lebih 300 tempat duduk. Peruntukan RM3.8 juta untuk memperkukuh industri kreatif melalui program Dondang Sayang, festival budaya dan bengkel seni.
“Terakhir adalah Pentauliahan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam Seni Tari, Teater dan Produksi Pentas bagi memperkasakan profesionalisme penggiat seni,” kata Ketua Menteri ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Bicara Seni Budaya Tahun 2025 di Dewan PERZIM, Muzium Rakyat, di sini, semalam.
Hadir sama pada majlis itu Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman bersama Timbalannya, Datuk Zaidi Attan; Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Negeri Melaka, Ezlina Alias dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak (ITP), Prof Madya Dr. Mohamad Ainuddin Iskandar Lee Abdullah.
Ab Rauf berkata, komitmen berkenaan bukan sekadar projek pembangunan, tetapi pengiktirafan terhadap warisan bangsa dan pelaburan jangka panjang untuk mengangkat budaya sebagai sektor strategik negeri.
Menurut Ketua Menteri lagi, seni tidak akan hidup tanpa pelaku dan pewarisnya, berikutan itu golongan muda Negeri Melaka diminta untuk menjadi ejen perubahan, memikul peranan sebagai penjaga warisan serta pencipta sejarah baharu.
“Kepada semua penggiat seni, ilmuwan, sektor swasta dan penjawat awam, marilah kita berganding bahu, memperkukuh ekosistem seni budaya negeri ini agar kekal berakar di bumi, tinggi menjulang ke langit dunia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.