Sorting by

×

MELAKA DESTINASI PERTAMA JENAMA HOTEL BERTARAF DUNIA

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

KLEBANG 9 Julai – Melaka melakar sejarah sebagai destinasi pertama terpahat nama sebuah jenama hotel bertaraf antarabangsa.

Terletak di pesisir Pantai Klebang, hotel berkenaan merupakan yang pertama dibangunkan sebuah syarikat antarabangsa dari Taiwan dengan nilai pelaburan dianggar mencecah RM1 bilion.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kehadiran jenama antarabangsa itu bukan sahaja menyerikan landskap hospitaliti negeri, malah menjadi bukti keyakinan pelabur terhadap potensi besar Melaka sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Beliau turut menyifatkannya sebagai satu kebanggaan dan pengiktirafan untuk Negeri Melaka kerana menjadi lokasi pertama di negara ini untuk jenama bertaraf dunia itu bertapak.

“Melihat kepada lokasinya yang strategik serta reka bentuknya yang ikonik, hotel ini bukan sekadar tempat penginapan semata-mata, ia kini berdiri sebagai mercu tanda baharu yang yang mencerminkan wajah Melaka dalam peta pelancongan dunia.

“Mewakili Kerajaan Negeri Melaka, saya menzahirkan setulus penghargaan kepada YeaShin International Development di atas keyakinan memilih Melaka sebagai destinasi pelaburan pertama bagi jenama hotel ikonik ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Birkin International Hotel yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abdul Rahman, di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ketua Menteri, sejak dibuka pada 14 Februari lalu, hotel berkenaan telah merekodkan hampir 7,000 pelancong dari dalam dan luar negara menginap di sini.

Jelas beliau, ia sekali gus menunjukkan indikator jelas bahawa Melaka kekal sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini.

“Lebih signifikan, kehadiran hotel ini turut memberikan limpahan ekonomi secara langsung dengan menyediakan lebih 150 peluang pekerjaan kepada komuniti setempat.

“Pada masa yang sama, ia membuka ruang latihan dan pembangunan kemahiran dalam bidang hospitaliti dan perkhidmatan, khusus buat anak-anak Melaka yang ingin menceburi industri ini secara profesional.

“Justeru, saya berharap pihak pengurusan hotel akan terus memberi penekanan terhadap latihan berterusan dan pembangunan kompetensi warga kerja. Perkhidmatan yang ditawarkan perlulah memenuhi standard kecemerlangan serta mencerminkan kredibiliti jenama ini di mata dunia,” kata beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik usaha hotel berkenaan mendapatkan pensijilan halal Malaysia, memandangkan ia selari dengan keperluan industri halal yang kian mendapat tempat di peringkat serantau dan global.

“Saya percaya, usaha ini akan memposisikan hotel ini sebagai antara peneraju dalam segmen pelancongan premium patuh syariah, sekali gus mengukuhkan kedudukan Melaka sebagai hab pelancongan halal serantau yang berdaya saing, inklusif dan mampan,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

560
Kongsi :
Previous post LAHIRKAN ANAK-ANAK HEBAT DARI KAMPUNG KECIL – KM
Next post HOTEL DI MELAKA TERIMA LEBIH 8 JUTA PELANCONG SEPANJANG 2024