Sorting by

×

KEWAJIPAN ZAKAT EMAS DAN PERAK

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

BUKIT BARU 9 Julai – Zakat Melaka menetapkan uruf atau kadar bayaran emas perhiasan dalam kalangan wanita Islam di negeri ini adalah melebihi 180 gram.

Ketua Penolong Pengarah Media dan Teknologi Maklumat Zakat Melaka, Harith Hassan berkata, mengeluarkan zakat seperti zakat pendapatan, zakat fitrah dan zakat harta adalah wajib keatas umat Islam yang memenuhi syarat begitu juga penunaian zakat emas.

Beliau berkata, zakat emas terbahagi kepada dua iaitu emas perhiasan dan emas simpanan jarang diperkatakan secara meluas dan Zakat Melaka menjadi pemudah cara bagi umat Islam untuk menunaikan zakat.

“Zakat emas diwajibkan ke atas mereka yang memiliki emas dan apabila sampai nisab dan telah cukup haul setahun namun begitu ramai yang tidak sedar akan hal ini kerana beranggapan emas yang dipakai atau disimpan tiada apa-apa tanggungjawab.

“Tetapi dalam Islam itu termasuk dalam harta yang perlu disucikan melalui zakat dan penetapan uruf pemakaian barangan perhiasan emas termasuk simpanan diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri.

“Untuk emas perhiasan zakat hanya dikenakan sekiranya melebihi 180 gram dan sekiranya kurang tidak wajib untuk membayar zakat manakala bagi emas simpanan pula wajib dizakatkan sepenuhnya apabila cukup 85 gram ke atas dan disimpan selama setahun,” katanya ketika ditemui di Pejabat Zakat Melaka, Bukit Baru, hari ini.

Menurutnya, selain zakat emas, turut wajib ditunaikan adalah zakat perak yang dikenakan ke atas barang perak seperti berbentuk syiling, jongkong atau perhiasan yang bernilai.

“Sekiranya jumlahnya cukup nisab 595 gram dan disimpan selama setahun maka wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5 peratus dari nilai semasa perak tersebut sama seperti emas.

“Ini kerana ramai tidak sedar mereka ada barangan perak bernilai tinggi seperti koleksi pinggan lama atau barangan kemas jadi ini penting untuk menyemak semula untuk pastikan zakat dapat ditunaikan,” katanya.

Harith berkata, cara pembayaran zakat emas dan perak sama seperti zakat yang lain ini adalah bagi memudahkan umat Islam untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

“Kaedah pembayaran zakat emas dan perak senang sahaja, ianya boleh dibuat terus menerusi lama sesawang Zakat Melaka iaitu www.izakat.com atau pergi ke kaunter zakat dan juga boleh berjumpa amil bertauliah termasuk menerusi dalam talian.

“Justeru itu, Zakat Melaka komited dalam menyebar luas pemahaman tentang kedua-dua zakat ini dengan mengadakan kempen dan turun padang serta menyampaikan ceramah berkaitan agar orang ramai mendapat penerangan sewajarnya,” katanya.

Jelasnya, diharap umat Islam tidak ambil mudah perkara berkaitan zakat kerana ia bukan sekadar kewajipan tetapi amanah daripada Allah S.W.T selain dapat membersihkan harta serta memberkati rezeki.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

362
Kongsi :
Previous post HOTEL DI MELAKA TERIMA LEBIH 8 JUTA PELANCONG SEPANJANG 2024
Next post SEKTOR KESIHATAN TERAS UTAMA PEMBANGUNAN INSAN MELAKA