
SEKTOR KESIHATAN TERAS UTAMA PEMBANGUNAN INSAN MELAKA
AYER KEROH 9 Julai – Kerajaan Negeri terus komited menjadikan sektor kesihatan sebagai teras utama pembangunan insan dengan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menjamin kesejahteraan rakyat Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu menjadi keutamaan bagi Kerajaan Negeri kerana akses kepada kesihatan yang berkualiti adalah hak asas setiap rakyat.
Ab Rauf berkata, antara yang sudah dilaksanakan Kerajaan Negeri adalah memperkenalkan inisiatif Paramedik Komuniti (PARAKOM) iaitu sukarelawan kesihatan yang dilatih untuk bertindak pantas dalam situasi kecemasan di peringkat komuniti.
“Usaha lain turut dilaksanakan adalah inisitif satu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) satu ambulans, Tabung Bantuan Dialisis dan menyediakan alat defibrilator luaran automatik (AED) di setiap Japerun.
“Sehingga kini 1,369 sukarelawan PARAKOM telah dilahirkan dan daripada jumlah itu seramai 414 sudah menjalani latihan insentif bersama Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) selain berjaya mengendalikan lebih 150 kes kecemasan.
“Semua ini adalah gambaran jelas bahawa Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran saya akan terus menjadikan kebajikan kesihatan rakyat sebagai keutamaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Simposium Integrated Paramedic Emergency Update Melaka (I-PREMIUM) Ke-7, Tahun 2025, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.
Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem dan Pengerusi I-PREMIUM Ke-7, Dr. Abdul Rahman Abdul Kadir.
Menurut Ab Rauf, Kerajaan Negeri juga komited untuk memperkasakan latihan, kemudahan dan kebajikan petugas kesihatan, kerana aspek itu dianggap sebagai satu bentuk pelaburan penting untuk masa depan rakyat.
“Justeru itu Kerajaan Negeri akan terus berdiri teguh bersama petugas barisan hadapan untuk memastikan Melaka kekal sebagai negeri yang sihat, sejahtera dan selamat untuk didiami,” katanya.
Terdahulu, seramai 200 pengamal perubatan kecemasan termasuk pegawai perubatan sektor awam dan swasta seluruh negara menghadiri Simposium I-PREMIUM Ke-7, Tahun 2025.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.