Sorting by

×

PARAKOM DIPERLUASKAN KE MASJID, SURAU

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 9 Julai – Inisiatif Paramedik Komuniti (PARAKOM) akan diperluaskan ke masjid dan surau seluruh negeri ini dalam usaha berterusan untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan asas berkualiti kepada rakyat.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) akan mengadakan perbincangan bersama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi membolehkan perancangan itu direalisasikan dalam masa terdekat.

“Inisiatif PARAKOM akan diperluaskan ke setiap masjid, selain itu mengikut perancangan kita juga akan memberikan latihan atau pendedahan asas berhubung rawatan bantuan kecemasan jantung dan pernafasan di setiap masjid.

“Setiap masjid diminta menghantar tiga wakil, seterusnya perancangan ini akan diperluaskan ke peringkat surau,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Simposium Integrated Paramedic Emergency Update Melaka (I-PREMIUM) Ke-7, Tahun 2025 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Menurut Hee Sem, pihaknya turut menggalakkan agar pihak pengurusan setiap kilang di Melaka menyediakan atau memasang alat defibrilator luaran automatik (AED) sebagai persediaan menghadapi situasi luar jangkaan membabitkan pekerja mereka.

“Pemasangan AED ini tidak ada paksaan atau diwajibkan, cuma Kerajaan Negeri menggalakkan pihak kilang menyediakannya. Alat ini amat berguna dalam memberikan bantuan khususnya dalam kes kecemasan melibatkan serangan jantung.

“Pemasangan AED dianggap amat penting memandangkan kebarangkalian alat itu membantu menyelamatkan nyawa ialah 90 peratus, malah saya turut mengadakan perjumpaan bersama Invest Melaka Berhad bagi membincangkan perkara ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1269
Kongsi :
Previous post HARGA RON97 DAN RON95 KEKAL, DIESEL DI SEMENANJUNG NAIK TIGA SEN
Next post KERAJAAN MELAKA AMBIL TINDAKAN SEGERA ISU PENCEMARAN SUNGAI AIR BATU