
CUCI-CUCI DUYONG TUMPU KAWASAN TERBIAR, TANAH WAKAF
DUYONG 20 Julai – Program Cuci-Cuci Duyong sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong dilaksanakan di kawasan Pengkalan Rama Tengah dengan memberi tumpuan kepada penyelenggaraan kawasan terbiar termasuk tanah wakaf yang tidak dikenal pasti pemiliknya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, fokus turut diberikan kepada kawasan siar kaki dan beberapa lokasi dalam kampung yang sebelum ini terabai serta tidak diselenggara secara berkala.
Beliau yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri memaklumkan, program berkenaan menyasarkan penyelesaian isu kebersihan di kawasan yang tidak termasuk dalam liputan tugas pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), SWM Environment dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka.
“Ini adalah kampung dalam bandar dan kebanyakan kawasan yang kita bersihkan melibatkan tanah terbiar dan kawasan yang tidak diketahui status pemilikannya.
“Ada kawasan yang tidak boleh diakses dengan kenderaan, dan terdapat juga isu yang tidak dapat diselesaikan melalui perundangan biasa kerana ketiadaan dokumen pemilik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyertai gotong-royong Program Cuci-Cuci Duyong di Pengkalan Rama Tengah, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah SWCorp Melaka, Nor Zaki Md Nor; Pengurus Operasi Wilayah SWM Environment Sdn Bhd Melaka, Khaw Su Aun serta kenamaan lain.
Tambah Mohd Noor Helmy, kawasan yang menjadi tumpuan utama itu adalah kawasan yang kebanyakannya dihuni warga emas serta berisiko menjadi tempat pembiakan nyamuk dan haiwan berbisa jika tidak dibersihkan.
“Program ini turut menggalakkan penglibatan penduduk setempat dalam menjaga kebersihan persekitaran agar terus lestari dan selamat didiami.
“Kita harap selepas pelaksanaan program ini, penduduk dapat menjaga persekitaran kawasan mereka dengan baik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.