
MINI KARNIVAL TAMAN BANDARAYA BUKIT SERINDIT MEDAN PENYATUAN MASYARAKAT
DUYONG 20 Julai – Penganjuran Mini Karnival Taman Bandaraya Bukit Serindit anjuran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dengan kerjasama pelbagai agensi berjaya menghidupkan suasana taman rekreasi di tengah Bandaraya Melaka itu.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, sambutan hebat diterima sepanjang tiga hari mini karnival itu berlangsung sekali gus membuktikan bahawa Taman Bandaraya itu bukan sekadar ruang riadah, tetapi juga berfungsi sebagai medan penyatuan masyarakat.
Jelas beliau, ia memandangkan pelbagai pengisian telah dimanfaatkan komuniti daripada program berbentuk kesihatan, rekreasi, sukan rakyat, pendidikan, seni, dan budaya, pameran serta lain-lain lagi untuk segenap lapisan masyarakat.
“Penganjuran Mini Karnival ini bukan sahaja menghidupkan suasana taman bandaraya yang indah, malah telah menjadi medan untuk kita memperkukuh ukhwah, mengeratkan silaturahim serta menyemai nilai-nilai murni dalam komuniti.
“Di samping itu, saya kira Taman Bandaraya Bukit Serindit ini juga merupakan sebuah taman dan laman bagi segenap lapisan masyarakat berkumpul, beriadah, melakukan aktiviti bersukan serta mengamalkan gaya hidup sihat.
“Syabas dan tahniah kepada MBMB selaku Pihak Berkuasa Tempatan yang menjaga dan menyelenggara segala kemudahan awam yang terdapat di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Mini Karnival Taman Bandaraya Bukit Serindit Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Rais turut berharap agar program mini karnival seumpamanya dapat diperluaskan ke lebih banyak lokasi dan dianjurkan dari semasa ke semasa.
“Semoga Taman Bandaraya terus menjadi pusat komuniti yang aktif, harmoni dan sejahtera.
“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Melaka akan terus menyokong peluasan inisiatif seumpama ini ke kawasan lain di Negeri Melaka dan seterusnya dapat menjayakan agenda perpaduan serta semangat muhibbah dalam kalangan komuniti,” tambah beliau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.