Setia menunggu kepulangan suami…
TANJUNG BIDARA, 5 Jan – “Biarpun seribu tahun, saya tetap setia menunggu kepulangan suami tercinta kerana walaupun terpaksa menerima hakikat kehilangannya, sanubari saya tetap berharap dia pulang.
“Hati isteri mana yang tidak mengharapkan kepulangan suami ke sisi keluarga dan isteri mana yang tidak terus berdoa agar suami yang hilang muncul di muka pintu satu hari nanti?” kata Aminah Abdul Manaf, 70.
Meskipun lima tahun sudah berlalu, harapan Aminah tidak pernah terpadam untuk menatap wajah suami tercinta, Juhari Ali muncul di muka pintu rumah mereka di Kampung Hailam, Pengkalan Balak di sini.
Biarpun kemunculan itu untuk seketika, ia cukup untuk mengubati kerinduan yang bersarang dalam sanubarinya sejak Juhari hilang ketika menangkap ikan di perairan kira-kira satu batu nautika dari pantai Padang Kemunting, di sini pada jam 10 malam, 9 Ogos 2015.
Bagaikan baharu semalam Aminah menyaksikan suaminya melangkah keluar dari pintu rumah untuk turun ke laut bersendirian dan seolah-olah baharu semalam juga wanita warga emas itu terkejut menerima khabar bahawa suaminya hilang di laut.
“Walaupun terpaksa menerima hakikat kehilangannya, sanubari saya tetap berharap agar suami saya muncul di muka pintu dan saya serta lapan anak menyambutnya dengan penuh kegembiraan,” katanya ketika ditemui di kediamannya semalam.
Aminah dan lapan anaknya berusia antara 30 hingga 50 tahun menerima kunjungan Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Othman Abdul Latiff yang menyampaikan replika cek RM102,500 skim Takaful Ikhlas Perlindungan Insurans Berkelompok Nelayan kepada Aminah.
Juhari yang ketika itu berusia 71 tahun hilang ketika menangkap ikan bersendirian di perairan berkenaan dan pada 14 Disember 2018 Mahkamah Tinggi Temerloh mengeluarkan perintah Juhari dianggap sudah meninggal dunia pada tarikh beliau hilang.
Usaha mencari dan menyelamat nelayan terbabit dilancarkan pelbagai agensi kerajaan dan ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Melaka Barat di sekitar perairan Padang Kemunting, Tanjung Bidara, Pantai Puteri, Pengkalan Balak, Kuala Sungai Baru dan Kuala Linggi selama tiga hari tetapi gagal menemukannya.
Berikutan itu, anggota keluarga Juhari, terutama anak ketiganya, Affendi, 47, mengambil langkah mengikut undang-undang mendapatkan perintah mahkamah berhubung kehilangannya untuk diisytiharkan sebagai sudah meninggal dunia dan peguam yang mewakili mereka berusaha mendapatkannya dari Mahkamah Tinggi Temerloh.
Aminah berkata, dalam tempoh tiga bulan kehilangan suami, beliau sekali sekala bermimpi suaminya pulang dan berdiri di muka pintu sambil merenung wajahnya.
“Saya renung wajahnya yang tenang dan berseri-seri seakan-akan ingin menyatakan sesuatu kepada saya tetapi apabila saya menghampirinya, dia berlalu pergi.
“Saya sentiasa menghadiahkan surah al-Fatihah dan surah yang lain setiap kali terbayang akan wajahnya dan berdoa agar Allah memberi keberkatan kepadanya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau bercadang menggunakan wang insurans berkenaan untuk membuat badal haji suami, selain memanfaatkannya untuk kesejahteraan keluarga.