Sorting by

×

11 LOT TANAH PERSENDIRIAN TERLIBAT PROJEK ‘ROCK REVETMENT’ PANTAI SIRING

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

SERKAM 26 Julai – Sebanyak 11 plot tanah milik penduduk kampung dikenal pasti terlibat dalam pelaksanaan projek pembinaan benteng penahan ombak (rock revetment) di Pantai Siring, dekat sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam, Datuk Zaidi Attan berkata, berdasarkan Kanun Tanah Negara, tanah-tanah berkenaan yang sebahagiannya ditenggelami air menjadi milik kerajaan.

Bagaimanapun katanya, kawasan itu masih mempunyai pemilik berdaftar kerana belum dibuat lot baharu oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT).

“Daripada sudut undang-undang, tanah yang ditenggelami air akan menjadi milik kerajaan, tetapi apabila tiada ‘plotting’ baharu dibuat, tanah itu masih mempunyai nama pemilik.

“Kita perlu bantu pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan penghulu untuk mengadakan sesi libat urus bersama pemilik tanah agar surat izin lalu dapat diperoleh,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pada lawatan tapak di lokasi benteng pecah di Pantai Siring di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Zaidi berkata perbincangan itu penting bagi memastikan kerja-kerja projek dapat dilaksanakan segera dengan lancar dan mengikut prosedur.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM1.5 juta oleh Kerajaan Persekutuan yang disalurkan menerusi JPS pusat bagi melaksanakan projek naik taraf benteng penahan ombak di lokasi itu yang dikategorikan sebagai kawasan hakisan Kategori 2.

Projek menggunakan kaedah ‘rock revetment’ itu dilaksanakan bagi menggantikan benteng sementara yang diperbuat daripada kayu bakau, ‘sand bag’ dan ‘jumbo bag’.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

530
Kongsi :
Previous post MELAKA MALL MERIAH DENGAN PELBAGAI PROMOSI JUALAN BESAR-BESARAN
Next post AB RAUF SUNTIK SEMANGAT KEPADA LEBIH 1,700 PELAJAR