
PPSPM-HARD ROCK CAFE LANCAR KEMEJA-T EDISI KHAS, PAKEJ ‘CRUISE ROCK THE RIVER’
BANDA HILIR 26 Julai – Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) terus melebarkan kerjasama strategik dalam merancakkan sektor pelancongan negeri apabila menjalinkan kerjasama dengan Hard Rock Cafe Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kolaborasi antara dua entiti itu bukan sekadar gabungan dua nama besar, tetapi manifestasi komitmen Melaka untuk memperkenalkan tarikan tempatan menerusi sentuhan jenama global.
Beliau berkata, kerjasama antara PPSPM dan Hard Rock Cafe Melaka merupakan kerjasama strategik yang amat membanggakan selain merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia.
“Ini merupakan satu lagi inisiatif yang meletakkan Melaka terus gah di peta pelancongan dunia malah menerusi kerjasama ini, Kemeja-T Edisi Khas Melaka River Cruise X Hard Rock Cafe sempena ulang tahun PPSPM Ke-20 dikeluarkan.
“Kemeja-T Edisi Khas ini dilancar bersempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025, di mana sebagai permulaan sebanyak 350 helai pada harga RM179 dan akan ditambah mengikut permintaan.
“Malah hasil kolaborasi strategik ini turut diperkenalkan Pakej Cruise Rock The River yang menawarkan pelayaran premium menelusuri Sungai Melaka dengan kelengkapan bot berhawa dingin dan disajikan hidangan istimewa daripada Hard Rock Cafe,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran T-Shirt Edisi Khas Melaka River Cruise X Hard Rock Cafe Melaka Sempena Ulangtahun PPSPM Ke-20 dan Pakej Cruise Rock The River Dengan Kerjasama Hard Rock Cafe Melaka, di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri Datuk VP. Shanmugam; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris.
Menurut Ab Rauf, sehingga kini PPSPM telah membangunkan empat produk tarikan utama yang menawarkan keunikan dan kelainan tersendiri kepada pelancong.
“Selain Melaka River Cruise, PPSPM turut menawarkan Melaka Sea Cruise; Eco-Cruise Sungai Linggi dan yang terbaharu adalah Eco-Cruise Tasik Chin Chin yang dirasmikan pada 22 Julai lalu.
“Demi memastikan Melaka terus kekal sebagai destinasi pelancongan unggul bukan sahaja di Malaysia tetapi di mata dunia, dijangka lebih banyak produk pelancongan baharu sedang dirangka serta akan diperkenalkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.