Sorting by

×

MELAKA REKOD LEBIH 4 JUTA PELANCONG SETAKAT JUN

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

BANDA HILIR 26 Julai – Sektor pelancongan Melaka terus mendapat sambutan apabila merekodkan kedatangan lebih empat juta pelancong dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, angka itu dijangka terus melonjak lebih-lebih lagi apabila negeri ini menjadi tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 pada September depan.

Selain itu, beliau berkata, pengenalan lebih banyak produk pelancongan baharu serta pakej pelancongan menarik yang ditawarkan, ia juga bakal menggamit dunia datang ke Melaka.

“Pada tahun lepas Melaka mencatat kehadiran lebih 15 juta pelancong dan pengunjung manakala sehingga Jun 2025 lebih empat juta pelancong telah membanjiri Melaka.

“Maka, saya mengambil kesempatan ini, mengalu-alukan kehadiran semua pengunjung dari dalam dan luar Melaka untuk terus menyokong apa jua inisiatif dan produk pelancongan yang diketengahkan oleh Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran T-Shirt Edisi Khas Melaka River Cruise X Hard Rock Cafe Melaka Sempena Ulangtahun PPSPM Ke-20 dan Pakej Cruise Rock  The River Dengan Kerjasama Hard Rock Cafe Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri Datuk VP. Shanmugam; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh serta Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, dalam landskap pelancongan yang kian mencabar dan kompetitif kejayaan masa depan Melaka tidak boleh digalas oleh kerajaan semata-mata.

Oleh itu, ujar beliau, ia menuntut kerjasama rentas sektor antara agensi, pemain industri dan juga komuniti setempat.

“Justeru, saya melihat kerjasama antara Perbadanan Pembangunan Sungai Dan Pantai Melaka (PPSPM) dan Hard Rock Cafe Melaka bukan sekadar satu pencapaian tetapi pencetus gelombang baharu dalam pembangunan pelancongan negeri.

“Bukan itu sahaja, kerjasama erat juga diperlukan bersama pemain-pemain industri pelancongan, agensi pelancongan, pemilik hotel, inap desa dan semua yang terlibat untuk sama-sama mengangkat sektor pelancongan Melaka ke mata dunia.

“Harapan saya agar lebih banyak pihak tampil menjalinkan kolaborasi yang berani, kreatif dan berimpak tinggi demi membina ekosistem pelancongan Melaka yang lestari serta terus menjadi pilihan utama pelancong tempatan mahupun antarabangsa,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2682
Kongsi :
Previous post PPSPM-HARD ROCK CAFE LANCAR KEMEJA-T EDISI KHAS, PAKEJ ‘CRUISE ROCK THE RIVER’
Next post ‘ROBLOX KINGDOM OF DUYONG KITA’ PROMOSI PELANCONGAN SECARA MAYA