Sorting by

×

MELAKA ANJUR ‘PERHIMPUNAN RXZ’ HUJUNG TAHUN INI

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 27 Julai – Melaka sekali lagi akan menganjurkan acara permotoran terbesar dengan menghimpunkan peminat-peminat motosikal RXZ pada penghujung tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, program yang dinamakan Perhimpunan RXZ Malaysia 2025 itu diadakan sebagai usaha mempromosikan Melaka sebagai antara destinasi pelancongan permotoran terbaik di negara ini.

Ujar beliau, program itu juga dirangka selepas melihat sambutan hebat yang diterima pada perhimpunan ‘RXZ Members Ride Edition 2.0 2024 Negeri Melaka’ tahun lalu yang menarik kehadiran lebih 50,000 ‘Geng RXZ’.

“Saya yakin, tahun ini pasti lebih meriah dengan pelbagai acara menarik akan kita sediakan bagi menyambut semua peminat dunia permotoran yang akan ‘berkampung’ ke Melaka dijangka pada Disember nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Konvoi Legasi RXZ Negeri Melaka di perkarangan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Whatsapp image 2025 07 27 at 11.19.37
AB Rauf bergambar bersama sebahagian peserta program Konvoi Legasi RXZ Negeri Melaka.

Pada program itu, seramai lebih 500 penunggang motosikal jenis Yamaha RXZ dan 125Z kelahiran negeri Melaka ‘menggegarkan jalanan dengan konvoi bermotosikal sejauh 120 kilometer dari Ayer Keroh ke Kajang Selangor.

Ia merupakan sebahagian siri jelajah yang diadakan bagi mempromosikan Perhimpunan RXZ Malaysia 2025 di Melaka hujung tahun ini.

Ab Rauf dalam ucapannya turut menzahirkan penghargaan kepada semua anak Melaka yang bersama Kerajaan Negeri dalam mempromosikan Melaka dan sektor pelancongan di negeri ini.

“Penyertaan anak Melaka pada program Konvoi Legasi RXZ Negeri Melaka ini mencerminkan semangat komuniti permotoran yang kental dan berdisiplin.

“Sebagai seorang penunggang tegar motosikal selama lebih empat dekad, jiwa dan semangat saya sentiasa dekat dengan komuniti sukan bermotor ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

964
Kongsi :
Previous post KARNIVAL KAWAN PTPTN MELAKA DIDIK ANAK-ANAK MENABUNG
Next post WRUR BAWA PERUBAHAN POSITIF DI DUYONG