Sorting by

×

MELAKA MOHON KOMPLEKS KESIHATAN BERSEPADU DI MELAKA TENGAH

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 6 Ogos – Kerajaan Negeri memohon pembinaan Kompleks Kesihatan Bersepadu di Daerah Melaka Tengah menerusi Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kompleks kesihatan itu dicadangkan dibina di atas tanah seluas 2.02 hektar (5 ekar) sebagai langkah proaktif menghadapi cabaran sistem kesihatan negeri yang semakin kompleks.

“Kerajaan Negeri memohon pembinaan Kompleks Kesihatan Bersepadu di Daerah Melaka Tengah menerusi Rolling Plan 1 RMK-13, dengan nilaian kos bernilai RM45 juta.

“Saya amat berharap usaha ini diberi perhatian dan dilihat seluasnya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia memandangkan ia dilaksana demi kesejahteraan rakyat dan demi membantu mengurangkan bebanan petugas kesihatan negeri di lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sanjungan Budi dan Apresiasi Petugas Kesihatan Negeri Melaka Tahun 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem; Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Suriani Ahmad; Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Dr. Ruzita Mustaffa serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Kerajaan Negeri terus komited meningkatkan taraf kesihatan rakyat menerusi pelbagai inisiatif di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).

“Sebanyak RM150,000 diperuntukkan untuk pelaksanaan program kesihatan di bawah ANMS, manakala RM100,000 disediakan sebagai bantuan rawatan dialisis kepada rakyat Melaka,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan kejayaan inisiatif Paramedik Komuniti (PARAKOM) yang menyaksikan seramai 1,369 sukarelawan paramedik telah dilahirkan setakat ini menerusi kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dan St. John Ambulance.

Jelas beliau, PARAKOM diwujudkan berperanan menampung keperluan sekiranya berlaku kes kecemasan di kawasan kampung dan lokasi tumpuan pelancongan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

421
Kongsi :
Previous post HOSPITAL ANGKATAN TENTERA KEM TERENDAK DIJANGKA SIAP AWAL 2029
Next post LALUAN SEHALA PEKAN DURIAN TUNGGAL BAKAL BERI KELEGAAN KEPADA PENGGUNA