Sorting by

×

TEBATAN BANJIR ALOR GAJAH FASA 1 LEGAKAN PENDUDUK 

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

REMBIA 6 Ogos – Masalah banjir kilat sebelum ini membelenggu penduduk khususnya di Taman Sri Bayu selain penempatan sekitarnya kini berjaya dikurangkan hampir 50 peratus hasil pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Alor Gajah Fasa 1.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata projek dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka itu dijangka siap sepenuhnya pada 24 Januari 2026 dan bakal memberi manfaat besar kepada penduduk setempat.

“Selama ini mereka berdepan masalah banjir kilat berulang, namun sejak pelaksanaan projek fasa satu ini, kesannya sudah mula dirasai dan Insya-Allah masalah itu akan diselesaikan sepenuhnya apabila fasa dua siap kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kilang Long Chan Trading di Zarina Industrial Park, Rembia, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital merangkap Penyelaras DUN Rembia, Datuk Fairul Nizam Roslan.

Turut hadir, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin serta Pengarah JPS Melaka, Ir. Mohd Adnan Ahmad Fauzi.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, fasa dua projek RTB hanya akan dilaksanakan selepas isu pengambilan tanah diselesaikan.

“Kita belum dapat laksanakan fasa dua kerana ada masalah pengambilan tanah yang tertangguh lebih setahun. Kerajaan Negeri kini sedang berusaha bersama JPS Melaka bagi mencari kaedah terbaik agar proses itu dapat diselesaikan segera,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

626
Kongsi :
Previous post MAJLIS APRESIASI SUNTIK SEMANGAT, PETUGAS KESIHATAN TERHARU DIRAIKAN
Next post RTB ALOR GAJAH FASA 1 CAPAI 66 PERATUS, DIJADUAL SIAP AWAL 2026