Sorting by

×

RTB ALOR GAJAH FASA 1 CAPAI 66 PERATUS, DIJADUAL SIAP AWAL 2026

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

REMBIA 6 Ogos – Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Alor Gajah Fasa 1 yang mula dibina sejak 2022 kini mencatatkan kemajuan sebanyak 66 peratus.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, projek itu akan memberi manfaat kepada lebih 1,200 penduduk sekitar Rembia dan Alor Gajah.

“Ini adalah fasa pertama. Insya-Allah kita yakin projek ini dapat membantu mengurangkan risiko banjir khususnya di Taman Sri Bayu selain taman-taman dan kampung sekitarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh melakukan lawatan tapak projek berkenaan bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia di Seri Pengkalan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital merangkap Penyelaras DUN Rembia, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka, Ir. Mohd Adnan Ahmad Fauzi.

Menurut Rais, lawatan kali kedua Ketua Menteri ini bagi memastikan sebahagian daripada komponen penting pelaksanaan projek tersebut berjalan lancar.

“Kita harap projek ini akan lebih banyak memberi manfaat kepada rakyat di DUN Rembia. Sedikit kelewatan, tapi alhamdulillah, semua ini akan dapat diselesaikan, Insya-Allah,” katanya.

Rais berkata projek berimpak tinggi itu merangkumi pembinaan kolam takungan banjir seluas 10 hektar yang kini telah mencapai kemajuan sebanyak 87 peratus, menaik taraf Sungai Alor Gajah di Taman Sri Bayu 2 sepanjang satu kilometer yang kini siap 62 peratus, manakala pembinaan ban banjir sepanjang 350 meter telah siap sepenuhnya.

“Lebih utama apabila projek bernilai RM17 juta itu siap kelak, ia dapat mengurangkan kekerapan banjir di kawasan dianggarkan berkeluasan 418 hektar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

503
Kongsi :
Previous post TEBATAN BANJIR ALOR GAJAH FASA 1 LEGAKAN PENDUDUK 
Next post WRUR BUKAN PROGRAM BERMUSIM – KM