Sorting by

×

DERITA MUHAMMAD QALAM MIQAEL DAPAT PERHATIAN AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

REMBIA 6 Ogos – Derita Muhammad Qalam Miqael Dzulkhairil, 6, akibat menghidap barah tisu tulang (osteosarcoma) mendapat perhatian Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Meskipun sibuk dengan urusan pentadbiran Ab Rauf, meluangkan masa untuk berjumpa Muhammad Qalam Miqael, di rumah keluarganya di Taman Permai, Rembia, di sini, hari ini sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral daripada Kerajaan Negeri.

Terdahulu lawatan Ziarah Kasih bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia itu turut disertai Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan merangkap penyelaras DUN Rembia serta Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin.

Ibu Muhammad Qalam Miqael, Azlina Ali, 35, berkata lawatan Ketua Menteri secara tidak langsung memberi harapan dan menguatkan semangat dirinya serta suami Dzulkhairil Abdul Halim, 32, dalam menempuh cabaran menjaga anak tunggalnya itu pada hari-hari mendatang.

“Muhammad Qalam Miqael didiagnosis menghidap osteosarcoma sejak tahun lalu ketika berusia lima tahun. Pada awalnya dia mengadu mengalami bengkak di kelengkang, berdasarkan pemeriksaan awal doktor memaklumkan ia tidak normal. Anak juga sudah menjalani pembedahan pada Jun tahun lalu, sekarang Muhammad Qalam Miqael perlu menjalani rawatan kimoterapi, radioterapi, namun kosnya tinggi bagi kami yang berniaga kecil-kecilan.

“Kami amat terharu apabila dikunjungi Ketua Menteri dan Penyelaras DUN Rembia, Datuk Fairul Nizam Roslan ke kediaman mentua, anak juga gembira kerana Ketua Menteri adalah idolanya. Terima kasih atas keprihatinan Ketua Menteri terhadap nasib Muhammad Qalam Miqael,” katanya yang sebak.

Azlina turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Fairul Nizam atas tajaan menunaikan ibadah umrah buat mereka tiga beranak  pada Oktober nanti.

Dalam kunjungan tersebut, Ab Rauf turut menyampaikan sumbangan kewangan dan barangan keperluan kepada keluarga Muhammad Qalam Miqael serta menzahirkan doa agar anak kecil itu diberikan kekuatan serta kesembuhan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

542
Kongsi :
Previous post MPJ LESTARIKAN LANDSKAP SMKA TUN PERAK
Next post PEMILIHAN SKUAD RAGBI SUKMA MELAKA, 16-17 OGOS INI