
LEBIH SATU ABAD, LONG CHAN IKON PRODUK SENTIMENTAL MELAKA – KM
REMBIA 6 Ogos – Kerajaan Negeri melihat potensi produk Long Chan sebagai minuman rasmi Negeri Melaka berdasarkan kepada kehadirannya yang sudah melebihi satu abad selain menyimpan nilai sentimental tinggi dalam kalangan rakyat.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kilang minuman Long Chan telah beroperasi di Rembia sejak lebih 115 tahun lalu dan dilihat kekal relevan dalam pasaran meskipun berdepan persaingan sengit industri minuman tempatan.
Selain itu Ab Rauf berkata, Long Chan bukan sekadar produk minuman tempatan, tetapi ia adalah sebahagian daripada sejarah dan identiti Negeri Melaka.
Katanya, kilang diwarisi generasi keempat itu mampu mengeluarkan antara 40,000 hingga 50,000 botol sehari untuk pasaran tempatan dan masih mengekalkan cita rasa asli menjadi pilihan ramai sejak berdekad lalu.
“Saya kagum dengan semangat generasi keempat yang gigih mengangkat kembali jenama Long Chan serta berusaha keras menempatkannya di hati rakyat Melaka.
“Kerajaan Negeri akan membantu perusahaan ini dan memastikan ia menepati piawaian halal yang dijamin dan diyakini bagi terus mempromosikannya sebagai produk Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas melawat Kilang Long Chan bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras DUN Rembia, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin dan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata kilang tersebut bukan sahaja berjaya mengekalkan operasi lebih seabad, malah menjadi bukti kekuatan warisan tempatan yang kekal dipertahankan.
“Pada sesi lawatan ini, saya berpeluang melihat sendiri proses pembuatan air di kilang ini dan ia membangkitkan kenangan generasi terdahulu yang membesar dengan produk ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.