
HEBAT: RAKYAT MELAKA DIHARGAI, DASAR DIPERHALUSI
SERI NEGERI 7 Ogos – Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama Rakyat (HEBAT) bukan sekadar platform mendengar rintihan, bahkan menjadi medan utama menambah baik dasar Kerajaan Negeri berdasarkan suara rakyat.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, segala pandangan, keluhan dan cadangan dikemukakan rakyat sepanjang program akan diteliti dan dijadikan asas penting dalam menyemak semula serta menambah baik dasar sedia ada.
“Ini bukan sekadar sesi bertemu rakyat. Setiap masalah, cadangan dan pandangan yang dikemukakan ini akan dijadikan input berharga untuk kita perhalusi dalam Mesyuarat Exco dan dasar kerajaan.
“Kita tidak mahu dasar dibuat hanya di atas kertas, tetapi berasaskan suara dan keperluan sebenar rakyat.
“Jadi saya harap HEBAT dapat memberi nilai tambah pendekatan di antara pentadbiran Kerajaan Negeri dengan rakyat untuk menyuarakan apa juga masalah melalui portfolio Exco Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan pada Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bersama Rakyat (HEBAT) Negeri Melaka, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan.
Menurut Ketua Menteri, pada program itu sebanyak 200 aduan diterima meliputi isu seperti pindah milik tanah, pengurangan harga premium tanah, kebajikan Orang Kurang Upaya (OKU), pertanian, lesen peniaga kecil serta urusan berkaitan cukai tanah.
Jelas beliau, apa yang membezakan HEBAT berbanding sesi libat urus lain, adalah kehadiran sendiri Exco dan agensi berkaitan yang bertindak segera ke atas setiap isu yang dikemukakan.
“Ada kes yang terus kita ambil tindakan di sini dan ada yang memerlukan pertimbangan lanjut, tetapi yang paling penting semua suara rakyat direkod dan diberi perhatian.
“Ini adalah siri pertama dan maklum balas yang kita terima sangat positif, kita akan teruskan program ini setiap dua bulan.
“Rakyat datang bukan hanya untuk mengadu, tetapi juga menyumbang idea, memberi cadangan dan ada juga yang hadir untuk berterima kasih,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.