Sorting by

×

‘HEBAT’ SANTUNI RAKYAT SETIAP DUA BULAN

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

SERI NEGERI 7 Ogos – Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama Rakyat (HEBAT) akan diadakan setiap dua bulan sekali di Seri Negeri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, ia memandangkan program berlangsung setengah hari itu membolehkan rakyat menyuarakan pelbagai isu secara terus kepada Kerajaan Negeri melalui portfolio Exco Kerajaan Negeri.

“Kita mahu rakyat tahu bahawa mereka boleh datang secara terus ke pentadbiran tertinggi negeri dan menyuarakan apa sahaja isu sama ada masalah tanah, kebajikan, cukai dan cadangan menambah baik dasar sedia ada.

“Pelaksanaan HEBAT secara berkala akan membolehkan Kerajaan Negeri menilai kesan serta keberkesanan dasar dengan lebih responsif dan inklusif.

“Setiap aduan direkod. Ada yang kita ambil tindakan serta-merta, ada yang memerlukan penelitian lanjut, ini membuktikan Kerajaan Negeri serius menyantuni rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan pada Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama Rakyat (HEBAT), di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan.

Dalam pada itu, Ab Rauf memaklumkan, pendekatan HEBAT berbeza dengan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang dianjurkan Kerajaan Negeri di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

“WRUR bersifat turun ke lokaliti iaitu pemimpin bertemu rakyat, tetapi HEBAT pula membawa rakyat ke pusat pentadbiran Kerajaan Negeri supaya kita boleh mendengar, ambil tindakan atau teliti proses yang lama tertangguh.

“Justeru, saya mengajak seluruh rakyat Melaka hadir ke siri HEBAT yang seterusnya membina pentadbiran Kerajaan Negeri yang lebih dekat dan responsif kepada rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

796
Kongsi :
Previous post HEBAT: RAKYAT MELAKA DIHARGAI, DASAR DIPERHALUSI
Next post MELAKA PERINTIS KONVENSYEN KOPERASI KARIAH MASJID