
8,882 OKU BERDAFTAR DI ALOR GAJAH
REMBIA 13 Ogos – Seramai 8,882 orang kurang upaya (OKU) berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi berkenaan direkodkan di Daerah Alor Gajah.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, angka itu adalah berdasarkan rekod bagi tempoh Januari 2025 hingga 11 Ogos lalu.
“Daripada jumlah besar itu seramai 1,418 OKU direkodkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia. Ketika ini JKM melaksanakan kempen penukaran kad OKU lama kepada yang baharu menggunakan kod respons pantas (QR).
“Kad baharu ini dilengkapi ciri keselamatan selain mengandungi faedah berhubung kelebihan untuk pemegangnya. Selain itu, JKM turut meningkatkan kerjasama dengan agensi seperti Jabatan Pendidikan Khas dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menyokong pelajar OKU daripada aspek latihan kemahiran serta penempatan pekerjaan bersesuaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Seri Emas, sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Rembia di Taman Bukit Emas, Alor Gajah, di sini, semalam.
Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras DUN Rembia, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem; Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Leng Chau Yen; Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas dan Pengarah JKM Melaka, Halyjah Muhamad.
Kalsom, turut memaklumkan sebanyak 15 pusat pembelajaran autisme di Melaka layak menerima Subsidi Yuran Pembelajaran Kanak-Kanak Autisme Fasa 1.
“Yuran ini melibatkan seramai 131 kanak-kanak dengan peruntukan RM65,500, manakala permohonan fasa kedua dibuka sehingga 31 Ogos ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.