Sorting by

×

WRUR DUN REMBIA: SELESAI MASALAH RAKYAT TERUS KE PINTU RUMAH

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

REMBIA 13 Ogos – Seramai 7,268 penduduk Rembia telah disantuni menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia yang kini memasuki minggu terakhir sebelum tirainya dilabuhkan pada 16 Ogos (Sabtu) ini.

Dari pintu rumah hingga ke balai komuniti, program WRUR menjadi medan tindakan pantas menyelesaikan pelbagai masalah setempat secara terus di lapangan.

Penyelaras DUN Rembia, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, pencapaian ini adalah pendekatan bersasar terhadap golongan yang memerlukan.

“Kita bahagikan kepada kumpulan sasaran, hasil ‘post-mortem’ setiap malam, maklum balas daripada agensi amat positif kerana mereka dapat berinteraksi terus dengan komuniti yang memerlukan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Perasmian Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Seri Emas bersempena Program WRUR DUN Rembia di Taman Bukit Emas, Alor Gajah, di sini, semalam.

Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin .

Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem; Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Leng Chau Yen; Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka, Halyjah Muhamad.

Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri turut menzahirkan penghargaan kepada semua barisan exco dan timbalan exco Kerajaan Negeri serta agensi terlibat yang turun padang bagi menyelesaikan isu mengikut portfolio masing-masing.

“WRUR membuktikan bahawa program turun padang bukan sekadar kunjungan mesra, sebaliknya platform bersepadu yang memberi penyelesaian pantas, menyentuh hati rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

411
Kongsi :
Previous post 8,882 OKU BERDAFTAR DI ALOR GAJAH
Next post MPHTJ KIBAR 3,000 JALUR GEMILANG MERIAHKAN SAMBUTAN BULAN KEBANGSAAN