Sorting by

×

IBU TUNGGAL LIMA ANAK PENERIMA ANUGERAH IKON USAHAWAN MAIM 2025

Masa Membaca:2 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 21 September – Kisah hidup seorang ibu tunggal dari Bukit Rambai, Nurulhuda Rosli, 41, menjadi inspirasi apabila dia bangkit mengubah nasib keluarga melalui perniagaan dan kini diiktiraf sebagai penerima Anugerah Ikon Usahawan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) 2025.

Dia diraikan dalam Majlis Anugerah Tunas Inspirasi (MATIN) MAIM 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC). Penyampaian anugerah disempurnakan oleh Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah.

Sebagai penerima anugerah berprestij itu, Nurulhuda membawa pulang wang tunai RM2,500 serta pakej menunaikan umrah, sesuatu yang disifatkannya sebagai rezeki luar biasa yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini.

Nurulhuda yang merupakan ibu kepada lima anak berusia 11 hingga 16 tahun, berkata perjalanan hidupnya penuh cabaran, terutama selepas bercerai lapan tahun lalu dan terputus hubungan sepenuhnya dengan bekas suami.

“Sejak menjadi ibu tunggal, saya benar-benar bergantung kepada bantuan MAIM, termasuk bantuan bulanan dan persekolahan anak-anak.

“Saya tinggal bersama emak yang sentiasa memberi sokongan moral dan menjadi kekuatan saya untuk terus berusaha,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima anugerah berkenaan.

Pada awalnya, Nurulhuda hanya mengusahakan sebuah gerai kecil menjual makanan tempatan dan barat.

Segalanya berubah apabila dia terpilih menerima geran zakat bernilai RM15,000 daripada MAIM pada November 2024, selepas mengikuti kursus keusahawanan selama dua minggu.

“Saya antara tujuh peserta terpilih menerima geran ini. Alhamdulillah, saya gunakan sepenuhnya duit zakat itu untuk perniagaan seperti menambah kabin, membeli meja, kerusi, peralatan dapur dan modal barang mentah.

“Kemudian saya mula nampak peluang untuk besarkan perniagaan, tambah menu dan sediakan tempat yang lebih selesa untuk pelanggan,” katanya.

Berkat perancangan yang teliti dan pengalaman bekerja di hotel sebelum ini, Nurulhuda berjaya membuka dua buah kedai iaitu di Pantai Puteri yang mula beroperasi awal 2024 dan di Taman Bertam Jaya, Cheng pada Ogos lalu.

Kini, beliau mampu menggaji 12 orang pekerja dan menawarkan pelbagai pilihan menu makanan barat dan tempatan.

“Dahulu saya hanya ada satu gerai kecil, sekarang alhamdulillah ada dua kedai. Saya sendiri tidak sangka perjalanan ini membawa saya sejauh ini. Semua ini berkat doa emak saya dan usaha yang berterusan.

“Saya benar-benar syukur kerana status asnaf menjadi titik tolak untuk saya bekerja keras demi memastikan anak-anak tidak mewarisi nasib yang sama dan saya tekad keluar daripada kelompok asnaf,” katanya.

Nurulhuda berkata, pengiktirafan sebagai Ikon Usahawan MAIM 2025 bukan sahaja membanggakan dirinya, malah memberi inspirasi kepada komuniti asnaf lain supaya tidak mudah putus asa.

“Saya akan berangkat ke tanah suci untuk menunaikan umrah sebagai sebahagian hadiah kemenangan ini. Syukur alhamdulillah, saya tidak pernah bayangkan dapat rezeki seperti ini.

“Jangan selamanya rasa diri kita ini asnaf. Kita mesti berusaha keluar dari zon itu dan cuba cari jalan untuk ubah kehidupan. Banyak pihak kerajaan yang sedia membantu.

“Alhamdulillah, dengan usaha dan doa, saya kini mampu berdiri sendiri dan membesarkan anak-anak dengan lebih baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

417
Kongsi :
Previous post 1,000 MERIAHKAN MELAKA BRISK WALK @ JEJANTAS TUN TEJA
Next post IBU BAPA NADI UTAMA BENTUK GENERASI BERILMU