
DEEPAVALI DISAMBUT DALAM SUASANA MERIAH, SENYUMAN
BANDA HILIR 17 Oktober – Kerajaan Negeri menyalurkan pelbagai bantuan dan sumbangan bagi memastikan golongan kurang berkemampuan menyambut Deepavali dengan penuh keceriaan dan kemeriahan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, antara inisiatif dilaksanakan bagi memeriahkan Deepavali adalah dengan menyalurkan sumbangan kepada 1,000 keluarga India di negeri ini.
Ab Rauf , berkata bantuan berkenaan melambangkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kesejahteraan semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
“Selain itu, lebih 400 kit makanan turut diagihkan kepada persatuan kebajikan masyarakat India melalui Pejabat Ketua Menteri Melaka, manakala 100 murid daripada 21 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) menerima sumbangan pakaian baharu.
“Lebih bermakna, kita turut meraikan 30 anak-anak Melaka daripada keluarga B40 komuniti India dengan pemberian pakaian baharu bagi meraikan Deepavali dengan penuh kegembiraan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Deepavali 2025 di Padang Nyiru di sini malam tadi.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Belia dan Sukan negeri Datuk VP Shanmugam serta barisan Exco serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf menegaskan bahawa perpaduan dan nilai moral yang tinggi adalah tunjang kemajuan Negeri Melaka yang sebenar.
“Kemajuan negeri bukan hanya bergantung kepada pembangunan fizikal, tetapi juga pembangunan jiwa dan perpaduan rakyat. Inilah aset paling berharga yang akan kita wariskan kepada generasi muda.
“Semua pihak, khususnya generasi muda daripada pelbagai kaum, agar sentiasa berpegang kepada nilai hormat, kasih sayang dan kebersamaan demi mengekalkan keharmonian negeri.
“Selagi kita berpegang pada nilai hormat dan kasih sayang tanpa prasangka perkauman, Melaka akan terus kekal makmur dan harmoni,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.