Sorting by

×

MELAKA HALAL HUB FASA 2 DIBANGUNKAN, TARIK PELABUR HALAL ANTARABANGSA

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

AYER KEROH 18 Oktober – Kerajaan Negeri bakal membangunkan Melaka Halal Hub Fasa 2 di kawasan tambahan seluas 19.40 hektar (47.94 ekar) di Serkam, Jasin bagi menarik lebih banyak penyertaan pelabur antarabangsa dan tempatan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, projek yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2027 itu dilaksanakan dengan kerjasama pihak swasta sebagai langkah memperkukuh kedudukan Melaka sebagai hab industri halal serantau.

Katanya, sebelum ini kawasan industri Melaka Halal Hub telah dibangunkan di kawasan seluas 54.22 hektar (134 ekar) yang menempatkan 147 premis perniagaan halal.

“Perbadanan Melaka (MCORP) dan rakan usahasama sedang meneliti cadangan untuk membesarkan lagi kawasan industri Melaka Halal Hub Fasa 2 daripada 54.22 hektar dengan tambahan 20.23 hektar (50 ekar) lagi di Serkam, Melaka.

“Kejayaan Melaka Halal Hub yang kini diiktiraf ‘HALMAS’ menjadi pemangkin kepada pembangunan fasa baharu ini. Insya-Allah, Melaka akan terus menjadi peneraju industri halal di rantau ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Melaka International Halal Festival 2025 (MIHF’25) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman serta barisan Exco dan kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, Melaka Halal Hub kini beroperasi di kawasan perindustrian yang dilengkapi dengan 147 kilang berkonsep ‘ready built factory’ serta tiga kawasan industri Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dengan 147 premis perniagaan, menjadikannya antara kluster halal paling tersusun di Malaysia.

Tambahnya, Kerajaan Negeri turut menyediakan dua laluan pemilikan kepada pemain industri iaitu pembinaan kilang secara terus di tapak industri atau pembelian premis siap bina bagi mempercepatkan operasi tanpa birokrasi yang membebankan.

Selain itu, jelas Ab Rauf, pelbagai perkhidmatan sokongan turut disediakan termasuk penyelarasan kursus, bimbingan teknikal dan khidmat nasihat bagi mempercepatkan proses pensijilan halal yang lebih cekap dan kos efektif.

“Hasilnya, sehingga Mei 2025, sebanyak 34,900 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) telah berdaftar di Melaka, manakala 400 syarikat menerima pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Lebih 150 produk halal dari Melaka kini telah menembusi pasaran global seperti Singapura, Indonesia, China, Jepun serta negara-negara Timur Tengah.

“Dengan pembangunan Melaka Halal Hub Fasa 2, kita yakin Melaka akan muncul sebagai destinasi pilihan utama pelabur halal antarabangsa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

353
Kongsi :
Previous post MIHF’25 PERKASA EKONOMI, ANGKAT MELAKA SEBAGAI HAB HALAL SERANTAU
Next post MELAKA TUBUH MAJLIS PEMBANGUNAN INDUSTRI HALAL