
TIDAK PATAH SEMANGAT, NORAIMI BUKTI OKU BERKAKI PALSU BOLEH BERJAYA
KLEBANG 21 Oktober – Kegigihan usahawan orang kurang upaya (OKU), Noraimi Mat Rejab, 49, berdikari dalam meneruskan kesinambungan hidup mendapat pengiktirafan apabila dia dinobatkan sebagai penerima anugerah Ikon Usahawan OKU Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang.
Anugerah itu disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, pada Majlis Perasmian Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Klebang di Dataran Klebang, di sini, pada Ahad.
Biarpun bergelar OKU selepas kehilangan kedua-dua belah kaki akibat jangkitan kuman kerana masalah kencing manis pada 2021, semangatnya untuk terus berdikari tidak pernah luntur.
Noraimi kini mengusahakan perniagaan makanan dan minuman bersama isterinya, Fatimah Zakiah Abd Rahman, 46, sejak tahun 2023, berkata anugerah yang diterima itu amat bermakna buat dirinya.
“Alhamdulillah, sebak sampai tak boleh bercakap sebab saya ini orang yang serba kekurangan. Saya tidak minta untuk terima anugerah ini, tapi alhamdulillah, rezeki Allah SWT beri,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, semangat dan keazaman yang tinggi selain kemahuan untuk tidak menyusahkan atau bergantung kepada orang lain menjadi kunci kejayaannya dalam perniagaan yang diusahakan.
“Saya kena kuat meskipun sakit dan fizikal tidak sempurna, apa orang lain cakap abaikan sahaja, apa yang penting saya tidak sudahkan orang lain. Itu paling penting,” katanya.
Noraimi, turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong atas pengiktirafan tersebut.
“Saya tidak mengharap apa-apa, cukup sekadar rezeki yang halal. Alhamdulillah, rezeki Allah mahu bagi, jangan pernah patah semangat walaupun berkaki palsu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.